‘Nak hantar anak sekolah tiba-tiba air naik’, beberapa keluarga terperangkap banjir di Taiping


  • Bonda
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Beberapa penduduk berdepan detik mencemaskan apabila banjir melanda kawasan perumahan di Taiping pada Khamis.

HUJAN lebat berterusan sejak Khamis di sekitar Taiping, Perak memaksa lebih 2,000 penduduk mencari perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Lebih menyayat hati, ramai mangsa tidak sempat membuat sebarang persiapan apabila air naik dengan pantas hanya dalam tempoh kurang satu jam.

Di media sosial, ramai penduduk berkongsi pengalaman cemas ketika banjir mula melanda.

Seorang pengguna, Norbaya MohdOthman berkata, ini kali pertama rumahnya di Taiping terkepung air sejak menetap di situ.

“Buat pertama kali sejak dok Taiping ni, banjir sampai tak boleh nak ke mana. Alhamdulillah rumah tak kena, cuma jalan nak keluar masuk je. Tersangkut la kami kat rumah.

"Ingat nak hantar anak sekolah, sekali kena patah balik. Cuti la mereka hari ini,” katanya dalam hantaran tersebut.

BACA LAGI: Sanggup berhabis RM3,825 sebulan sewa hotel sejak suami meninggal dunia, tak mampu tinggal di rumah penuh kenangan

BACA LAGI: 'Saya tak gagal, tapi berjuang', ibu cekal jalani pembedahan jantung terbuka sehari lepas bersalin czer

Bagi Ainez Betty pula, pengalaman kali ini benar-benar di luar jangkaan. Dalam masa sejam, paras air naik daripada betis hingga ke dada.

“Dua tahun duduk sini tak pernah naik air. Rumah pun tinggi. Tapi kali ni tak sangka langsung boleh banjir. Dalam 15 minit air dah naik laju. Lepas 30 minit sampai betis, sejam lebih dah paras dada.

"Semua orang terkejut, trauma pun ada,” katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Mahiramustaza menegaskan bahawa orang luar tidak faham situasi sebenar apabila menyalahkan penduduk kerana tidak membuat persediaan lebih awal.

“Kawasan tu taman perumahan baharu, tak sampai 10 tahun pun. Tak pernah banjir. Jadi orang memang tak jangka. Lagi pula waktu kejadian sekitar pukul 7 petang... waktu orang baru balik kerja, ambil anak sekolah.

"Bukan seluruh Taiping tenggelam, tetapi ada kawasan yang tak bernasib baik,” jelasnya.

Dalam satu video yang dikongsi Mohamad Syafiq Iqmal Mohamad Saari, kelihatan beberapa kanak-kanak berpaut pada ampaian baju untuk menyelamatkan diri.

“Kesian budak-budak, kita tak apa,” kedengaran suara seorang lelaki dalam rakaman itu, yang nyata menggambarkan cemasnya situasi ketika air semakin deras.

Beberapa foto lain di media sosial turut memperlihatkan seorang lelaki menggendong tinggi bayi kecil sambil bergelut melawan arus banjir demi menyelamatkan ahli keluarganya.

Setakat pukul 8 pagi Jumaat, seramai 2,171 mangsa daripada 759 keluarga masih berlindung di 22 PPS yang dibuka di dua daerah terbabit.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, tiga PPS beroperasi di daerah Manjung, manakala 19 PPS di daerah Larut, Matang dan Selama.

Antara kawasan terjejas di daerah LMS ialah Kampung Simpang Halt, Kampung Sungai Baru, Kampung Salak Baru, Kampung Sungai Lubok, Kampung Masjid, Kampung Batu 8, Kampung Batu 9 dan Kampung Ulu Sepetang.

Turut terjejas ialah Kampung Jelapang Jaya, Taman Simpang Makmur, Kampung Sungai Batu Teguh, Taman Simpang, Kampung Baru Simpang, Kampung Batu 27 Hampar, Kampung Jawa dan Kampung Kelubong.

Di Manjung pula, antara kawasan dinaiki air termasuk Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang, Kampung Lorong Masjid, Pantai Tin dan Kampung Padang Serai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram