Ramai resah STR Fasa 4 masuk lambat, proses kredit dah 6 hari tapi bayaran belum nampak bayang


  • Bisnes
  • Khamis, 23 Okt 2025

Rata-rata penerima STR Fasa 4 menunggu pengkreditan bayaran STR ke akaun bank masing-masing. — Gambar hiasan

RAMAI penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 meluahkan rasa kecewa dan resah apabila bayaran yang dijadualkan dibuat mulai 18 Oktober masih belum dikreditkan ke akaun masing-masing.

Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati ramai mengadu bahawa pembayaran kali ini lewat berbanding fasa sebelum ini, yang kebiasaannya diterima dalam tempoh sehari selepas tarikh pemberitahuan bayaran.

“Hari ini dah 23 Oktober, tunggu lima hari sejak pengumuman tarikh bayaran (18 Oktober) tapi masih menanti STR belum masuk.

BACA LAGI: STR Fasa 4 dibayar Sabtu, 8.8 juta penerima dapat RM100 hingga RM700 ikut kategori

BACA LAGI: Tiada lagi STR untuk bujang, tapi ada ‘rezeki’ RM700 bawah bantuan tanpa tunai SARA

"Selalunya hari kedua dah masuk, tapi kali ini bank lambat betul,” kata seorang pengguna Facebook.

Rata-rata yang lain di Group Facebook Bantuan STR turut memaklumkan mereka masih belum menerima bayaran sehingga pagi Khamis.

“STR saya dalam status 'proses kredit' tapi sudah hampir seminggu macam ini. Harap-harap hari ini atau esok ada rezeki,” tulis seorang penerima di laman sosial.

Sesetengah pengguna turut menyuarakan rasa terdesak memandangkan bantuan tersebut menjadi sumber penting bagi menampung keperluan harian, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Kami bukan meminta-minta, tapi bergantung pada duit ini untuk perbelanjaan anak-anak. Gaji RM700 sebulan pun kadang tak cukup,” kata seorang ibu yang memiliki dua anak.

Dalam pada itu, penerima turut menggesa pihak kerajaan dan institusi kewangan memperbaiki sistem pengkreditan STR bagi mengelak kelewatan yang berulang.

“Khamis sudah, ramai belum dapat STR. Setahu saya IBG (Interbank GIRO) paling lama sehari saja. Harap kerajaan betulkan sistemnya,” tulis seorang pengguna lain.

Sebahagian penerima juga membandingkan situasi semasa dengan pelaksanaan bantuan pada tahun-tahun terdahulu yang dikatakan lebih pantas.

“Zaman dulu tak perlu tunggu lama, tahu-tahu duit dah masuk,” kata seorang penerima.

Setakat ini, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kelewatan tersebut.

Namun, berdasarkan maklumat di portal rasmi STR, pembayaran dijalankan secara berperingkat mengikut bank penerima dan tempoh kemasukan mungkin berbeza bergantung kepada sistem pemprosesan institusi kewangan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram