Rasional had umur minimum guna media sosial, pakar jelaskan sebab remaja bawah 16 tahun belum sedia ‘scroll’ dunia maya


  • Massa
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Akses kepada media sosial mestilah seiring dengan kematangan minda dan emosi. — Gambar hiasan

CADANGAN kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial bukan sekadar langkah kawalan, tetapi suatu pendekatan yang berasaskan perkembangan psikologi dan kognitif kanak-kanak.

Langkah tersebut yang terkandung dalam Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, dilihat selaras dengan prinsip pembangunan kanak-kanak bahawa akses teknologi mesti seiring dengan kematangan minda dan emosi, bukan semata-mata hak kepada kebebasan digital.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan menyifatkan cadangan itu bukan bertujuan menafikan hak kanak-kanak terhadap teknologi, tetapi memastikan pendedahan berlaku mengikut tahap kematangan kognitif dan emosi mereka. 

BACA LAGI: Integrasi MyDigital ID dalam aplikasi myPTPTN bantu urusan lebih selamat, efisien

BACA LAGI: NADI ada seminggu rancang program keselamatan siber untuk ibu bapa — Fahmi

Fungsi pengawalan impuls dan pembuatan keputusan rasional pada otak hanya berkembang sekitar usia 15 hingga 16 tahun. — Gambar hiasan

Beliau berkata, berdasarkan Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget, kanak-kanak bawah umur 13 tahun masih berada pada tahap ‘operasi konkrit’ yang mana mereka hanya mampu berfikir berdasarkan perkara nyata, bukan idea abstrak.

Menurutnya, pada tahap ini, kemampuan mereka untuk menilai risiko jangka panjang, memahami niat tersirat dalam mesej digital atau menapis maklumat palsu masih terhad.

“Bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap pengawalan impuls dan pembuatan keputusan rasional (self-regulation) juga belum matang sepenuhnya, biasanya hanya berkembang sekitar usia 15 hingga 16 tahun.

“Oleh itu, apabila kanak-kanak seawal usia sekolah rendah diberi akses bebas kepada media sosial, mereka mudah terperangkap dalam manipulasi algoritma, tekanan sosial rakan maya, serta budaya 'instant gratification' — mahukan segalanya dengan segera tanpa memahami implikasi terhadap keselamatan atau privasi diri,” katanya kepada Majoriti.

Abdul Halim berkata, kemampuan kanak-kanak bawah 13 tahun untuk menilai risiko jangka panjang agak terhad.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, kanak-kanak di peringkat umur itu juga mempunyai struktur identiti dan emosi yang belum stabil, menjadikan mereka sangat mudah terpengaruh dengan kandungan yang tidak sesuai umur.

Ini, katanya, termasuk content berunsurkan keganasan, pornografi ringan, bahasa kebencian, dan standard kecantikan tidak realistik.

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa pendedahan awal terhadap kandungan sebegini boleh membawa kepada pelbagai masalah psikologi seperti gangguan imej diri dan harga diri rendah (body dissatisfaction), normalisasi tingkah laku ganas dan buli siber selain kemurungan awal remaja dan kebimbangan sosial.

“Apabila nilai moral dan keupayaan menilai realiti belum terbentuk sepenuhnya, dunia maya yang sarat manipulasi ini boleh mengelirukan persepsi kanak-kanak terhadap kebenaran dan realiti kehidupan,” katanya.

Tambah Abdul Halim lagi, media sosial juga kurang sesuai untuk kanak-kanak kerana bawah 13 tahun kerana platform tersebut dibina atas algoritma ganjaran dopamin.

Ia termasuk jumlah ‘likes’ dan video pendek tidak berpenghujung, yang secara saintifik terbukti mengaktifkan sistem ketagihan dalam otak.

Person Using Social Media App on Smartphone, Looking at Live Stream Videos. Realistic Feed Scrolling on Mock-up Application Posts: Creativity, Dancing, Meme, Lifestyle, Device Review, Viral Content

Dibina atas algoritma ganjaran dopamin, media sosial kurang sesuai untuk kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah. — Gambar hiasan

Kesan jangka panjangnya termasuk gangguan tumpuan (attention span), kelesuan akibat kurang tidur, prestasi akademik menurun serta kesukaran berfikir secara mendalam atau metakognitif.

“Dalam erti kata lain, keasyikan dunia maya bukan hanya menjejaskan disiplin belajar, tetapi turut mengganggu perkembangan kemahiran berfikir aras tinggi iaitu keupayaan penting untuk pembelajaran dan pengurusan diri,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Halim berpendapat, had umur 16 tahun yang dicadangkan kerajaan bukan bermaksud menafikan hak kanak-kanak terhadap teknologi, tetapi untuk memastikan pendedahan berlaku mengikut kadar kematangan mereka.

Lebih penting, dasar itu perlu disertai dengan pendidikan literasi digital positif di sekolah rendah dan menengah rendah meliputi aspek kawalan diri, empati dalam talian, etika siber, serta kesedaran tentang privasi dan jejak digital.

“Apabila pendidikan, pengawasan dan dasar berjalan seiring, kanak-kanak dapat memasuki dunia digital dengan lebih selamat, beretika dan berdaya tahan,” ujarnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram