KERAJAAN bercadang menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada usia 16 tahun dalam usaha membendung salah laku dalam kalangan pelajar sekolah, kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Oktober dengan kerajaan turut meneliti keperluan serta mekanisme untuk mewajibkan pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, MyDigital ID atau pasport.
“Jemaah Menteri membincangkan hasrat untuk meningkatkan had umur pengguna media sosial. Sebelum ini kita ada sebut tentang 13 tahun (tidak miliki sebarang akaun media sosial), tapi Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan cadangan untuk menaikkan had umur ke 16 tahun.
BACA LAGI: NADI ada seminggu rancang program keselamatan siber untuk ibu bapa — Fahmi
BACA LAGI: Wajib daftar kad prabayar melalui MyDigital ID menjelang akhir tahun ini — Fahmi Fadzil
“Ini sama seperti yang ada dilakukan di beberapa negara termasuk Australia dan Indonesia,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, 17 Oktober lalu.
Fahmi berkata, kerajaan turut meneliti mekanisme untuk mewajibkan pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi kerajaan.
Bagi memperincikan kebolehlaksanaan dan aspek teknikal cadangan berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama agensi berkaitan akan menghantar delegasi ke Singapura minggu depan untuk mengadakan pertemuan dengan pengendali platform media sosial utama.
“Mekanisme pendaftaran menggunakan dokumen rasmi mungkin dilaksanakan sama seperti proses eKYC yang digunakan dalam aplikasi perbankan dan e-dompet,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan bagi membendung pembelian senjata secara dalam talian, susulan pendedahan polis bahawa senjata tajam digunakan dalam kes bunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya, diperoleh menerusi platform e-dagang.

Fahmi berkata, kerajaan turut meneliti mekanisme untuk mewajibkan pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi kerajaan.
Pada masa sama, Fahmi turut menjelaskan bahawa perbincangan akan diadakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa pihak lain bagi meneliti pengalaman pelaksanaan sistem eKYC dalam aplikasi seperti Touch ’n Go eWallet dan Grab, yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan bagi tujuan pengesahan identiti pengguna.
“Kita juga akan mengadakan perbincangan yang mendalam bersama BNM dan juga beberapa pihak yang lain berdasarkan pengalaman pelaksanaan sistem eKYC bagi contoh eWallet.
“Di situ memang bagi beberapa aplikasi seperti Touch & Go, eWallet, Grab dan sebagainya ada aspek eKYC yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan bahawa cadangan menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada usia 16 tahun hanyalah di peringkat dasar.
“Perbincangan lanjut dengan pihak platform media sosial akan diadakan, dan kami akan memaklumkan hasilnya selepas lawatan ke Singapura,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
