NADI raih Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat Melaka 2025


  • Massa
  • Isnin, 20 Okt 2025

Mohd Arif bersama-sama pegawai MCMC lain meraikan kejayaan memenangi Anugerah Perkhidmatan Terbaik pada Program MADANI Rakyat Melaka 2025.

PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI), inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali lagi mencatat kejayaan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025.

Program tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganugerahan berprestij itu disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Mohd Arif Adenan.

BACA LAGI: Sambutan luar biasa, tarikan pelancongan Sarawak curi tumpuan di Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia

BACA LAGI: NEA 2025 jadi pentas penghargaan pengeksport negara, platform perkukuh jenama Malaysia di peringkat global

Kejayaan itu menandakan kesinambungan usaha NADI dalam mendekati masyarakat di seluruh negara melalui siri Program MADANI Rakyat 2025, yang bermula di Tawau, Sabah, sebelum diteruskan ke lapan lokasi lain dengan pendekatan dan aktiviti berbeza bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

Antara tarikan utama di reruai NADI ialah pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM melalui modul Tiny Techies, serta pemeriksaan kesihatan jantung berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memperkenalkan teknologi terkini dengan cara mudah difahami oleh komuniti setempat.

Golongan belia turut menunjukkan penyertaan aktif melalui Kempen Internet Selamat (KIS) dan pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football.

Sementara itu, Perkhidmatan Pintar NADI menarik perhatian ramai dengan lima fokus utama meliputi Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan bertujuan membantu masyarakat mempertingkatkan kemahiran digital serta ekonomi.

Sepanjang siri PMR tahun ini, lebih 10,000 ahli baharu telah mendaftar dengan NADI, manakala lebih 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pameran di reruai NADI di seluruh negara.

Kejayaan tersebut membuktikan sambutan hangat rakyat terhadap usaha berterusan MCMC melalui NADI dalam memperkasakan komuniti dengan kemahiran digital, akses teknologi dan maklumat, seiring matlamat merapatkan jurang digital serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia.

Lebih membanggakan, inisiatif NADI turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori Capacity Building di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 yang berlangsung di Geneva pada Julai lalu.

Pengiktirafan itu menonjolkan NADI sebagai contoh terbaik pelaksanaan pusat maklumat komuniti di Pulau Banggi, Sabah, yang berjaya memperkasa penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.

Kini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang, selaras dengan aspirasi 1 DUN 1 NADI yang bertujuan memperluas capaian maklumat dan memperkasa komuniti digital di setiap kawasan di seluruh Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram