
PENGURUS dan penasihat Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) diarah merancang program keselamatan dalam talian khusus buat ibu bapa dalam tempoh seminggu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan latihan serta elaun mereka ditamatkan.
Beliau berkata, kempen kali ini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencegah dan mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.
BACA LAGI: Kabinet cadang 3 langkah termasuk larang pelajar bawah 16 tahun guna telefon pintar
Gajet tidak boleh digunakan sebagai pengganti diri ibu bapa dalam mendidik atau meluangkan masa dengan anak-anak. — Gambar hiasan
Fahmi turut memaklumkan bahawa elaun pengurus dan penolong pengurus NADI telah dinaikkan baru-baru ini sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka kepada masyarakat.
Terdahulu, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak menjadikan gajet sebagai pengganti dalam mendidik atau meluangkan masa bersama anak-anak.
Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam memantau kandungan yang ditonton dan dikongsi oleh anak-anak mereka di media sosial.
“Apabila anak-anak diberi gajet, telefon atau tablet, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengetahui apa yang mereka tonton,” tegasnya.
Fahmi turut menambah bahawa Kementerian Komunikasi akan terus memantau aktiviti keselamatan siber di peringkat komuniti bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap bahaya media sosial terhadap kanak-kanak. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram