'Wujudkan diskaun khas lesen memandu kereta-motor bagi yang kurang mampu buat kali pertama'


  • Massa
  • Rabu, 22 Okt 2025

Kos untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 boleh mencecah RM350 hingga RM550 bergantung kepada kawasan. — Gambar Hiasan

 

 

PELAKSANAAN program BUDI95 yang mensyaratkan hanya pemilik Lesen Memandu Malaysia (LMM) sah layak menikmati petrol bersubsidi sememangnya satu langkah yang baik.

Usaha itu membantu memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang layak serta mendidik rakyat tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.

Namun, di sebalik langkah positif itu, masih ada segelintir rakyat yang mengeluh kerana tidak dapat menikmati manfaat tersebut disebabkan tidak mempunyai LMM yang sah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pesawat jatuh menjunam, saya sangka inilah penerbangan terakhir kami', penumpang kongsi detik cemas ke Bintulu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak soleh bukan dikira menerusi pangkat dan darjat', remaja sindrom Down betulkan tudung ibu simbol kasih sayang sejati

Ada antara mereka menggunakan 'lesen terbang' kerana tidak mampu menanggung kos pengambilan lesen memandu yang semakin meningkat saban tahun.

Nak kata padan muka, rasa kasihan pula kepada golongan ini. Hakikatnya, ramai antara mereka bukan sengaja melanggar undang-undang, tetapi terpaksa kerana keadaan hidup yang mendesak.

Pelaksanaan program BUDI95 yang mensyaratkan hanya pemilik Lesen Memandu Malaysia (LMM) sah layak menikmati petrol bersubsidi. — Gambar Hiasan

Lesen dan motosikal bagi mereka bukan satu kemewahan, tetapi keperluan untuk mencari rezeki dan menyara keluarga.

Bayangkanlah, ada yang bekerja sebagai penghantar makanan, pekerja kilang, atau peniaga kecil yang perlu menggunakan motosikal setiap hari.

Dalam keadaan kos sara hidup yang kian menekan, membayar ratusan ringgit untuk lesen dan memiliki motosikal baharu bukanlah sesuatu yang mudah.

Bayangkan, kos untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 boleh mencecah RM350 hingga RM550 bergantung kepada kawasan.

Walaupun kerajaan ada memperkenalkan Program MyLesen B2 2025 pengambilan lesen pertama, namun bukan semua yang layak dan ada syarat tertentu.

Malah setiap negeri mendapat kuota yang berbeza bergantung kepada keperluan dan bilangan penduduk.

Sudah pasti akan ada yang tercicir dan terus menggunakan 'lesen terbang'.

Semakin ramai pemandu dan penunggang berlesen sah, keselamatan jalan raya juga akan dapat dipertingkatkan. — Gambar Hiasan

Sehubungan itu, saya amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengenalan diskaun khas bagi pengambilan lesen memandu kali pertama.

Langkah berkenaan bukan sahaja akan membantu rakyat memiliki kenderaan sah dan selamat, malah dapat mengurangkan kes penunggang tanpa lesen serta penggunaan lesen palsu.

Ia juga mampu membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak muda, khususnya dalam sektor penghantaran yang kini menjadi sumber rezeki utama ramai orang.

Selain itu, dengan semakin ramai pemandu dan penunggang berlesen sah, keselamatan jalan raya juga akan dapat dipertingkatkan.

Ramai yang lebih berdisiplin dan sedar tentang tanggungjawab mereka di jalan raya selepas melalui latihan serta ujian rasmi.

Saya yakin inisiatif sebegini bukan sahaja membantu rakyat yang kurang mampu, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sebenar masyarakat marhaen.

Kadang-kadang, bantuan kecil seperti diskaun lesen pertama inilah yang mampu mengubah kehidupan seseorang.

Harapan saya, biarlah pelaksanaan BUDI95 bukan sekadar memastikan rakyat berlesen untuk menikmati subsidi petrol, tetapi juga membuka ruang agar lebih ramai dapat memiliki lesen sah dan kenderaan yang selamat demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan jalan raya negara. — Majoriti

Mohammad Azlan merupakan seorang penuntut universiti awam di Shah Alam, Selangor

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram