[VIDEO] Tertuduh kes tikam sekolah Bandar Utama jalani penilaian psikiatrik di Hospital Bahagia


  • Kes
  • Rabu, 22 Okt 2025

Remaja lelaki yang didakwa membunuh rakan sekolahnya akan menjalani penilaian psikiatrik di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

REMAJA lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya akan menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Amira Sariaty Zainal selepas meluluskan permohonan peguam bela remaja terbabit, Anwar Ezzad Zainal, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen berkenaan membolehkan tertuduh yang disyaki tidak siuman dihantar ke hospital yang diwartakan bagi menilai tahap kewarasan dan kesediaannya untuk dibicarakan.

BACA LAGI: Kes tikam di sekolah Bandar Utama: Suspek cuma angguk faham dituduh bunuh

BACA LAGI: Anak saya ditikam 200 kali', ibu pelajar maut rayu hentikan sebar cerita palsu

Perkara itu disahkan oleh peguam, Kitson Foong, yang hadir sebagai amicus curiae (pembantu mahkamah) ketika prosiding tertutup di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Remaja berkenaan tidak dapat didedahkan identitinya kerana masih di bawah umur, manakala media juga dilarang memasuki bilik mahkamah.

Di luar mahkamah, Kitson berkata, permohonan itu dibuat demi kepentingan terbaik tertuduh bagi memastikan langkah keselamatan dan kebajikannya terjamin sepanjang tempoh tahanan.

“Penilaian psikiatri ini penting untuk menentukan tahap kesediaannya membuat pengakuan serta memahami perjalanan kes,” katanya.

“Paling utama, siasatan juga perlu melihat keadaan mentalnya sebelum dan semasa kejadian berlaku,” tambah beliau.

Terdahulu, remaja itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Tertuduh yang berdiri di sisi ibu bapanya hanya berdiam diri ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 21 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.— The Star/TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram