[VIDEO] Sudah berdamai, kes lelaki hempuk juruwang diklasifikasikan NFA — Polis Selama


  • Tular
  • Rabu, 22 Okt 2025

Tular gambar menunjukkan lelaki berbaju hijau dan juruwang wanita dipercayai sudah berdamai di sebuah balai polis selepas insiden tular di Selama, Perak. – Facebook Yeop Tok

TINDAKAN biadab seorang lelaki yang mencampak barang ke arah kepala juruwang wanita di sebuah pasar raya di Selama, Perak pada Selasa mencetuskan kemarahan netizen selepas kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, kejadian berlaku pada Selasa apabila video berdurasi pendek memaparkan kekasaran seorang lelaki terhadap juruwang wanita tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada perselisihan faham antara pelanggan dan juruwang berhubung kaedah pembayaran ketika lelaki terbabit membuat bayaran di kaunter pasar mini berkenaan.

“Akibat salah faham tersebut, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak sebelum lelaki terbabit secara tidak semena-mena melemparkan barang belian yang dibungkus dalam plastik ke arah kepala juruwang wanita,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Kes tikam dalam tandas sekolah Bandar Utama: Suspek remaja 14 tahun cuma angguk faham dituduh bunuh

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pesawat jatuh menjunam, saya sangka inilah penerbangan terakhir kami', penumpang kongsi detik cemas ke Bintulu

Jelas beliau lagi, kedua-dua pihak telah tampil ke Balai Polis Selama pada hari sama untuk membuat laporan berhubung kejadian itu. 

"Mangsa turut dirujuk ke Hospital Selama bagi pemeriksaan lanjut dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal sebelum dibenarkan pulang.

“Kedua-dua individu terbabit dipanggil bagi memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. 

"Namun, pada puku 10 malam hari sama, kedua-duanya telah menarik balik laporan polis yang dibuat dan berdamai secara sukarela,” katanya.

Tambahnya, hasil semakan lanjut mendapati lokasi kejadian telah dilawati pegawai penyiasat dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Perak, sebelum diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Terdahulu tular satu video memaparkan rakaman insiden terbabit di laman media sosial, walaupun kedua-dua pihak sudah berdamai, pengguna media sosial tetap berpendapat tindakan kasar seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Seorang pengguna Facebook, Pzan Fzan berpendapat walaupun juruwang itu mungkin kelihatan meletakkan barang dengan sedikit kasar kerana ingin cepat, tindakan lelaki tersebut tetap tidak boleh diterima.

“Nampak cashier tu letak barang sedikit kasar, mungkin nak cepat… tapi memang tak patut langsung orang itu baling macam tu. Over barannya,” katanya.

Sementara itu, Haikal Amirrudin menegaskan bahawa tindakan agresif itu boleh membawa implikasi undang-undang meskipun kes dilaporkan telah diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

“Tak kisah siapa provoke siapa dulu, dia dah boleh kena dakwa. Bayangkan kalau itu anak perempuan dia, mesti dia marah juga. Kes ini walaupun dah selesai tetap akan menimbulkan trauma pada mangsa,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Patricia J'liah Kedit, turut mengecam perbuatan suspek dan menasihatkan agar tiada pihak menggunakan kekerasan walaupun sedang marah.

“Tetap salah lelaki tu sebab baling objek dekat cashier. Silap-silap boleh kena dakwa.

"Orang kata baran sekalipun jangan sampai tangan, bertekak mulut tak apa, tapi jangan pukul terutama di tempat awam,” katanya.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram