[VIDEO] 'Pesawat jatuh menjunam, saya sangka inilah penerbangan terakhir kami', penumpang kongsi detik cemas ke Bintulu


  • Tular
  • Selasa, 21 Okt 2025

Abdul Jalil berkongsi pengalaman mendebarkan ketika menaiki sebuah pesawat dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak mengalami kecemasan di udara baru-baru ini.

 

 

KIRANYA inilah penerbangan terakhir kami suami isteri…”, demikian luahan seorang penumpang, Abdul Jalil, yang berkongsi pengalaman mendebarkan ketika menaiki sebuah pesawat dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak mengalami kecemasan di udara baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa, Abdul Jalil berkata, dia sempat merakam video dalam pesawat bukan untuk menceritakan kejadian, tetapi sebagai rakaman terakhir sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Jauh di lubuk hati, saya terfikir kalau ini penerbangan terakhir, sekurang-kurangnya ada kenangan untuk anak-anak dan cucu-cucu,” tulisnya.

BACA LAGI: 'Kadang-kadang mak ayah yang lebih', cari salah anak orang lain bukan caranya bangun skuad bola sepak kanak-kanak

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak soleh bukan dikira menerusi pangkat dan darjat', remaja sindrom Down betulkan tudung ibu simbol kasih sayang sejati

Menurutnya, penerbangan berlepas pada pukul 8.20 pagi berjalan lancar sehinggalah sekitar pukul 10 pagi, beberapa bunyi ganjil kedengaran diikuti pesawat terasa menjunam secara tiba-tiba, menyebabkan penumpang panik.

"Pada masa yang sama juga terasa seolah kapal terbang turun menjunam memang terasa hilang kawalan, tak faham kenapa saya berperasaan begitu.

"Mungkin juga sudah biasa dalam pesawat yang terbang dalam keadaan selamat dan terasa penerbangan adalah terkawal.

“Apabila alat bantuan pernafasan keluar dan kapten mengisytiharkan ‘emergency’, saya tahu ada sesuatu yang serius berlaku,” katanya.

Lebih mencemaskan, katanya, alat bantuan pernafasan tersangkut dan terpaksa dikongsi tiga orang, menyebabkan mereka kelam kabut cuba memakainya.

Dalam tempoh cemas itu, Abdul Jalil berkata, pelbagai perkara bermain di fikirannya termasuk mimpi dan tanda-tanda aneh sebelum berlepas.

“Saya teringat, malam tadi saya beberapa kali terjaga dan solat tahajud. Tapi pagi tadi tak sempat solat dhuha seperti biasa sebelum bermusafir. Macam-macam saya fikir waktu itu,” ujarnya.

Katanya, ketika pesawat hilang kawalan, dia hanya mampu berzikir dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH.

“Tiada stereng untuk dipegang, tiada brek untuk ditekan. Cuma mampu bernafas dalam beg kecil dan berharap kepada tali pinggang keselamatan,” katanya lagi.

Selepas beberapa minit dalam keadaan cemas, kapten mengumumkan pesawat kembali stabil pada aras 10,000 kaki, sebelum mendarat selamat di Lapangan Terbang Bintulu pada pukul 10.35 pagi dalam hujan renyai.

Abdul Jalil sempat bertanya kepada pramugari mengenai punca kejadian dan dimaklumkan ia berpunca daripada “pressure drop” atau tekanan udara menurun secara tiba-tiba.

“Alhamdulillah, kami selamat mendarat. Cuma detik itu akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat,” katanya menutup catatan.

Perkongsian Abdul Jalil itu kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut bersyukur atas keselamatan semua penumpang dalam kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram