SEORANG lelaki berusia 35 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika bermain badminton dalam sebuah dewan sekitar Seremban 2, Negeri Sembilan pada Selasa.
Menurut laporan Sin Chew Daily, mangsa, Li Jiajin yang sedang bersama-sama rakannya menyatakan berasa tidak selesa dan kelihatan pucat pada penghujung perlawanan sebelum secara tiba-tiba pitam.
Rakan mendiang kemudian segera melakukan rawatan kecemasan resusitasi kardiopulmonari serta menggunakan defibrilator luaran automatik (AED) disediakan di premis berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemain badminton China rebah, meninggal dunia ketika tunggu servis lawan
BACA LAGI: Jatuh di tandas, imam meninggal dunia selepas main set pertama badminton di Segamat
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berjaya dan Jiajin disahkan meninggal dunia.
Mendiang meninggalkan seorang isteri yang kini sedang mengandung anak ketiga dan dijangka bersalin pada penghujung Oktober serta dua orang anak yang masih kecil.
Media melaporkan Jiajin menjaga kesihatan dan rakan-rakannya menyatakan mangsa menjalani kehidupan aktif apabila kerap melibatkan diri dalam pelbagai jenis sukan.
Pemergiannya sudah tentu mengejutkan, terutamanya buat keluarga kerana mendiang baru-baru ini membeli rumah baharu untuk membuka lembaran terbaru dalam kehidupan.
Ini bukanlah kes pertama melibatkan pemain meninggal dunia ketika menjalani aktiviti sihat dengan kejadian sebegitu perlu menjadi peringatan buat orang ramai untuk bersukan secara selamat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
