[VIDEO] Kematian murid Tahun 4 di Seremban berpunca tekanan pada leher, tindakan lanjut KPM ikut hasil siasatan polis


  • Kes
  • Khamis, 02 Okt 2025

Ibu bapa kepada murid lelaki Tahun Empat yang ditemui mati dalam tandas sekolah dipercayai ada kaitan dengan kes buli gagal menahan sebak ketika tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada Khamis. — Seremban Kini

PUNCA kematian murid tahun empat yang dijumpai tidak sedarkan diri di tandas lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ia hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau,Negeri Sembilan pada Khamis.

"Bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada hari ini (Khamis) mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher.

BACA LAGI : Hampir sebulan di ICU, legenda Kedah, Hussin Jaafar mula tunjuk perkembangan positif

BACA LAGI : [VIDEO] 'Kalau nampak nama Muhammad, saya lega', pelawak Australia pilih pemandu e-hailing Muslim sebab sifat sabar, tenang

"Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, setakat ini sebanyak 27 keterangan sudah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

"Ia termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan ketika mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.

"Polis menggesa supaya diberi ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak kanak yang dilindungi di bawah peruntukkan Undang Undang Akta Kanak Kanak 2001 memandangkan siasatan juga membabitkan saksi kanak kanak.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya berdasar kepada hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.

"Aspek kebajikan keluarga dan kesejahteraan seluruh warga sekolah terlibat juga akan diberi sepenuh perhatian,"katanya.

Terdahulu, media melaporkan jenazah kanak-kanak itu dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira pukul 6.30 petang Khamis selepas hampir tiga jam proses bedah siasat dijalankan.

Jenazah murid tahun empat itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Negeri Sembilan selepas solat Maghrib pada hari yang sama.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram