Jatuh di tandas, imam meninggal dunia selepas main set pertama badminton di Segamat


  • 112
  • Khamis, 25 Mei 2023

Jenazah Nur Nikman dijangka dikebumikan di kampungnya di Pokok Sena, Kedah. — Facebook/KaptenAzli

SEORANG imam, Nur Nikman Yusof meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Li Chi, Kampung Abdullah di Segamat, Johor pada Rabu.

Difahamkan, Allahyarham yang juga Imam Masjid Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor itu jatuh secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 11.15 malam.

Katanya, saksi di lokasi kejadian memaklumkan mangsa berusia 40-an itu sempat bermain badminton set pertama bersama rakannya sebelum ditemui terjatuh dalam tandas.

"Rakan mangsa dikatakan mendengar bunyi jatuh yang kuat dari tandas dan arwah ditemui luka di dahi dipercayai rebah serta tidak sedarkan diri.

"Seorang pemain yang berada di lokasi kemudiannya menghubungi Paramedik Hospital Daerah Segamat (HDS).

"Pemeriksaan petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.

nur nikman

Jenazah Allahyarham Nur Nikman ketika di Masjid Bandar Labis, Johor pada Rabu. — Facebook/MukhlisinShukor

Menurutnya, pemeriksaan pada mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita pemergian Nur Nikman yang juga bekas Imam Masjid Bandar Labis, Johor itu turut dikongsikan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

"Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," tulis hantaran tersebut yang turut memaklumkan bahawa Allahyarham merupakan seorang kakitangan lantikan MAINJ.

Dalam pada, jenazah Nur Nikman yang disembahyangkan di Masjid Bandar Labis, Johor pada Rabu dijangka dikebumikan di kampungnya di Pokok Sena, Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram