
KEJOHANAN Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Ipoh, Perak terpaksa dibatalkan selepas seorang pelajar meninggal dunia ketika beraksi pada perlawanan pada Jumaat.
Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika permainan sedang berlangsung.
Pelajar Sekolah Menengah (SMS) Johor itu segera diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan yang bertugas di padang sebelum dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
BACA LAGI: Aksi ditangguhkan, pelajar SMS Johor meninggal dunia ketika bermain ragbi
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan rasmi menzahirkan rasa dukacita atas kejadian itu serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“KPM mengambil keputusan untuk membatalkan kejohanan sebagai tanda menghormati pemergian Allahyarham.
"Kebajikan keluarga juga akan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian,” kata kenyataan dalam satu kenyataan pada Sabtu.
KPM turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Sementara itu, penganjur SBP Rugby Sevens dalam satu kenyataan berasingan berkata, keputusan membatalkan kejohanan dibuat bagi mengenang jasa dan semangat yang ditunjukkan Allahyarham Muhammad Fauzan sepanjang penglibatannya.
“Rugbi sentiasa sinonim dengan semangat setiakawan, hormat dan kesatuan.
"Pada saat ini, kita memilih untuk berhenti seketika bagi mengenang salah seorang daripada kita yang pergi terlalu awal,” jelas kenyataan pada Sabtu.
SBP Rugby Sevens turut merakamkan penghargaan kepada semua sekolah yang bertanding, pegawai kejohanan, penyokong dan rakan penaja atas sokongan dan kefahaman mereka dalam menghadapi situasi berduka tersebut.
Allahyarham Muhammad Fauzan dikebumikan di kampung halamannya di Chaah dekat Segamat,Johor pada Sabtu.
Tragedi berkenaan turut mengundang simpati komuniti sukan sekolah yang menganggap pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada pasukan malah kepada dunia ragbi pelajar di negara ini.
Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang pemain Allahyarham meninggal dunia ketika sedang beraksi mewakili sekolahnya pada Jumaat.
Menurut laporan, Muhammad Fauzan dikatakan meninggal dunia semasa turun beraksi melawan Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) dalam Kejohanan Ragbi SBP7s pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram