[VIDEO] Disyaki terkena serangan jantung, pemandu lori simen hilang kawalan cetus panik di Kubang Kerian


  • Tular
  • Rabu, 22 Okt 2025

Beberapa batang tiang lampu di jalan raya tersebut dipercayai tumbang akibat insiden berkenaan.

PENGGUNA jalan raya di Kubang Kerian dekat Kota Bharu, Kelantan pada Rabu dilaporkan panik apabila pemandu sebuah lori simen dipercayai terkena serangan jantung sebelum kenderaan berat itu hilang kawalan lalu merempuh beberapa batang lampu jalan.

Kes itu dikongsikan di laman TikTok Alya Perodua yang memaparkan beberapa individu mengejar kenderaan tersebut yang bergerak di pembahagi jalan dengan pintu tempat duduk penumpang terbuka.

Lori berkenaan bagaimanapun tidak membahayakan pengguna jalan raya lain kerana ia bergerak secara perlahan dengan kawasan itu juga kelihatan tidak begitu sibuk.

BACA LAGI: [VIDEO] Nyaris 'terjunam' tingkat 3, pemandu WRV rempuh tembok Hospital Serdang rupanya pesakit jantung

BACA LAGI: Diserang sakit jantung, Yakeb mahu jumpa abang Akhyar Rashid, kos perubatan ditanggung JDT

Di ruangan komen pula, pemilik akaun tersebut menceritakan bahawa kejadian berlaku setelah pemandu mengalami serangan jantung dan sudah diberikan bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital.

"Kakitangan dan penasihat penjualan (SA) Perodua Nasrom sudah melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum ambulans datang dan alhamdulillah, ketika itu masih ada denyutan nadi.

"Keadaan pemandu masih tidak diketahui lagi, harapnya dalam baik-baik sahaja. Sama-sama kita doakan," tulisnya.

Insiden tersebut turut diceritakan dalam beberapa platform media sosial lain termasuk KelantanFA.com yang berkongsi kemalangan itu dan menerima perhatian netizen.

Setakat ini, masih tiada sebarang perkembangan dikongsikan berhubung kerugian dialami akibat insiden terbabit mahupun keadaan pemandu yang mengalami serangan jantung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram