
SEORANG wanita dilaporkan maut dalam nahas melibatkan kereta dan motosikal di Jalan Kuching-Samarahan Expressway berdekatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan pada Selasa.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 9.30 pagi, wanita terbabit menunggang motosikal bersama-sama seorang lelaki sebelum bertembung dengan kereta dipandu seorang wanita berhampiran lampu isyarat.
Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak ke bawah sebuah lori lalu diseret sejauh 40 meter.
BACA LAGI: Sambutan luar biasa, tarikan pelancongan Sarawak curi tumpuan di Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, semasa pihaknya tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa sudah pun terbakar.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah motosikal terbakar sepenuhnya dipercayai akibat perlanggaran dengan sebuah Proton Saga," kata pihak bomba dalam satu kenyataan.
Pihak bomba mengerahkan satu jentera dan satu EMRS bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke tempat kejadian.
Lelaki yang menaiki motosikal bersama mangsa bersama pemandu kereta turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram