[VIDEO] Pesawat kargo terbabas sebelum terjunam ke laut, 2 pekerja 'airport' dilaporkan maut


  • Benua
  • Isnin, 20 Okt 2025

Keadaan pesawat kargo yang terjunam ke laut selepas tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. — Media Sosial

SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada Isnin gempar apabila sebuah pesawat kargo jenis Boeing 747-400 dilaporkan terbabas dari landasan dan terjunam ke laut, mengorbankan dua kakitangan darat serta mencetuskan operasi menyelamat berskala besar.

Difahamkan, pesawat kargo Emirates EK9788 yang dikendalikan oleh ACT Airlines dari Turkiye, tiba dari Dubai sekitar pukul 3.50 pagi waktu tempatan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan di landasan utara dan gagal berhenti ketika pendaratan.

Pesawat berkenaan kemudian meluncur keluar dari landasan dan jatuh ke laut berhampiran hujung lapangan terbang tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Pempengaruh warga emas China maut, pesawat ringan kemalangan masa buat 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi berani pekerja tarik tali tunda elak pesawat pejuang MiG-29A rosak teruk

Jurucakap Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong mengesahkan dua pekerja lapangan terbang terjatuh ke laut dan disahkan meninggal dunia di hospital selepas ditemui pasukan penyelamat.

Manakala, empat kru penerbangan yang berada di dalam pesawat berjaya diselamatkan tanpa kecederaan serius.

Susulan kejadian itu, landasan utara lapangan terbang ditutup sementara untuk siasatan, manakala dua lagi landasan kekal beroperasi bagi mengurangkan gangguan penerbangan.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong memaklumkan satu sidang media akan diadakan bagi menjelaskan butiran awal kemalangan.

Beberapa helikopter daripada Government Flying Service dan kapal penyelamat Jabatan Bomba dikerahkan ke lokasi sejurus kejadian, manakala 11 penerbangan kargo yang dijadualkan tiba pada Isnin dibatalkan.

Dalam kenyataan rasmi, Emirates menjelaskan bahawa pesawat EK9788 bukan dikendalikan oleh pihaknya secara langsung, sebaliknya disewa secara 'wet lease' daripada ACT Airlines.

Pesawat berdaftar TC-ACF itu juga tidak membawa sebarang muatan kargo ketika kejadian.

"Kesemua empat kru disahkan selamat dan sedang menerima rawatan perubatan. Emirates merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta rakan sekerja dua pekerja lapangan terbang yang terkorban," menurut kenyataan syarikat itu sambil menegaskan komitmen untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa.

ACT Airlines dan Emirates kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Hong Kong dalam usaha mengenal pasti punca sebenar insiden tragis itu, yang dianggap antara kemalangan udara paling serius di Hong Kong dalam beberapa tahun kebelakangan ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram