DI sebalik setiap helaian kain yang tercerap indah dengan corak dedaunan dan bunga-bungaan semula jadi, tersimpan kisah kasih dan keazaman seorang ibu yang tekad untuk melihat anak istimewanya, Muhammad Aiman Aznur Mohamad Azhar berdikari melalui seni dan kreativiti.
Bagi pengasas Aimalis Heritage, Nurliza Nis Naim, perjalanan itu bukan sekadar menjual produk, tetapi tentang membina masa depan seorang anak yang istimewa dengan penuh kasih dan kesabaran.
Berbekalkan modal sekitar RM3,000, wanita berasal dari Negeri Sembilan itu menjadikan teknik ecoprint atau seni cetakan daun, ranting dan bunga sebenar pada fabrik sebagai permulaan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
BACA LAGI: Bermula dari tapak semaian, Rumapokok kini jadi kafe ubah landskap F&B di Sungai Pelek

Lis (kiri) giat menyertai acara untuk mempromosikan produk ecoprint yang dihasilkan bersama anak istimewanya, Aiman.
“Ia bukan sahaja indah, malah setiap hasilnya unik dan tiada dua yang serupa. Dari situ saya nampak potensi Aiman untuk berkarya dengan cara sendiri," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, Nurliza yang mesra disapa Lis berkata, sebagai ibu kepada anak autism, dia mengakui selalu berasa risau untuk membiarkan Aiman bekerja tanpa pengawasan kerana dia seorang yang naif dan terlalu mempercayai orang.
Jadi, dia berpendapat dengan menjalankan perniagaan sendiri, ia dapat menjadi serampang dua mata untuk melihat Aiman bekerja dalam persekitaran selamat dan membantunya mencari duit poket demi kelangsungan hidup kelak.
"Saya gunakan apa sahaja bahan yang ada di sekeliling rumah pada waktu itu untuk memulakan langkah pertama.
"Kebanyakan bahan saya peroleh di platform e-dagang serta kedai berhampiran rumah saja," ujarnya.

Aiman mampu belajar pelbagai kemahiran menerusi pembuatan produk kraftangan berasaskan cetakan ecoprint.
Menurut Lis, kekurangan Aiman sedikit pun tidak mematahkan semangat sebaliknya ia menjadi dorongan untuk dia terus gigih mengajar dan membimbingnya.
"Saya mahu Aiman belajar pelbagai kemahiran dan akhirnya mampu berdikari mencari rezeki dengan usaha sendiri.
"Cuma Aiman kadang-kadang mahu buat sesuatu dengan cepat tanpa mendengar arahan sepenuhnya dahulu.
"Jadi saya perlu banyak bersabar dan terangkan dengan perlahan supaya dia faham," kata Lis lagi.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 juga memberikan sedikit cabaran kepada dua beranak itu terutama dari segi jualan dan pergerakan.
Meskipun demikian, mereka tetap meneruskan perniagaan dari rumah dengan menggunakan platform dalam talian.

Cetakan ecoprint menjadikan produk Aimalis Heritage unik dan tampil lain daripada yang lain.
"Sebagai ibu tunggal, saya pernah juga terasa lelah dan hilang semangat, tapi setiap kali saya pandang wajah anak-anak, saya kembali kuat.
"Mereka motivasi utama saya untuk teruskan juga bisnes ini dan sedikit demi sedikit, kami dapat tempuhi dugaan tersebut," katanya lagi.
Tambah manis, hasil titik peluh mereka membuahkan hasil apabila Aiman terpilih sebagai finalis program SAY LEAD Liga Usahawan OKU anjuran Selangor Youth Community.
Dia juga meraih Anugerah Usahawan Harapan bersama seorang lagi usahawan muda, Nur Nuha Mohd Fadzil.
"Waktu Tuanku Raja Muda Selangor mengucapkan "well done” kepada kami, saat itu, saya benar-benar sebak dan menitis air mata melihat pencapaian Aiman," tuturnya.

Produk Aimalis Heritage merupakan antara finalis yang berjaya ke peringkat akhir Liga Usahawan OKU SAY Lead.
Dalam pada itu, Lis sempat menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) sepertinya agar tidak mudah berasa rendah diri dengan situasi tersebut.
Katanya, dengan keupayaan serta kemahiran yang diajar, mereka juga boleh berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri dengan disokong ibu bapa dan komuniti.
Di bawah jenama Aimalis Heritage, mereka menghasilkan pelbagai produk seperti beg tangan, beg komputer riba, dompet serta hasil jahitan kreatif lain yang semuanya bercorak ecoprint unik.
Produk Aimalis Heritage boleh didapati di Kadijah Artisan Heaven, Berjaya Times Square dan Pavilion Kuala Lumpur.
"Kami juga banyak menyertai acara dengan membuka booth jualan. Bahkan, produk kami juga pernah dipamerkan di Ekspo Dunia 2025 Osaka Kansai pada April lalu yang menjadi satu kebanggaan besar buat kami," katanya.
Lis berharap jenama Aimalis Heritage dapat menembusi pasaran seluruh Malaysia dan seterusnya ke peringkat global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
