Projek 'waste-to-wealth', usahawan eko dari Bangi kutip sisa makanan dan daun kering, ubah sampah jadi baja kebun


  • Bisnes
  • Selasa, 21 Okt 2025

Yap menunjukkan baja kompos yang digunakan hasil daripada penguraian sisa makanan, daun kering dan habuk kayu. — ART CHEN/ The Star 

DI tengah hiruk-pikuk ibu kota, terselit sebuah kebun komuniti di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur yang menjadi bukti bahawa ‘sampah’ sebenarnya boleh menjadi harta.

Bagi Yap Jing Zong, 25 tahun, rahsia tanaman yang sihat bukan sekadar baja atau air tetapi pada tanah.

“Kalau kita jaga tanah dengan baik, tanah akan jaga tanaman kita,” ujar usahawan muda yang juga pengasas 4Leaf Nursery dan projek sosial Trash to TrashURE itu.

BACA LAGI: Ramai sedih peniaga medan selera 'legend' Uptown Damansara mahu tutup gerai gara-gara sewa naik RM9,000 sebulan

BACA LAGI: Bermula dari tapak semaian, Rumapokok kini jadi kafe ubah landskap F&B di Sungai Pelek

To interview Yap Jing Zong, youth sustainability advocate who founded 4Leaf Nursery to turn food waste into wealth through sustainable composting and urban farming. (September 2 2025) — ART CHEN/The Star

Yap menunjukkan baja kompos di Kebun Bandar Lestari Setapak Permai. — ART CHEN/ The Star

Ungkapan ringkas itu membawa makna mendalam kerana ia menjadi asas perjuangannya untuk menyelesaikan masalah sisa makanan di Malaysia dengan cara yang lestari.

“Saya suka menanam, tapi saya sedar tanaman pun perlu makanan dan baja ialah makanan tumbuhan cuma harganya bukan murah,” katanya.

Dari situ, Yap mula mencari jalan menghasilkan baja sendiri menggunakan sisa makanan.

Pada 2021, ketika masih bergelar pelajar universiti, dia memulakan rutin seawal 3.30 pagi dengan menunggang basikal di sekitar Wangsa Maju untuk mengutip lebihan makanan dari restoran.

Tidak terhenti di situ, dia juga mendapatkan sisa taman seperti daun kering daripada Alam Flora.

To interview Yap Jing Zong, youth sustainability advocate who founded 4Leaf Nursery to turn food waste into wealth through sustainable composting and urban farming. (September 2 2025) — ART CHEN/The Star

Norfaizah menyembur racun organik yang diperbuat daripada cuka kayu dan daun neem bagi melindungi tanaman daripada serangga perosak. — ART CHEN/ The Star

Menjelang 7 pagi, dia sudah berada di ladang bagi menjalankan eksperimen baja kompos sebelum ke kelas. 

Percubaan pertamanya menukar sisa makanan menjadi baja membuahkan hasil dalam tempoh tiga bulan.

“Bila saya bandingkan dengan baja beli, tanaman saya lebih subur guna kompos daripada sisa makanan,” katanya sambil tersenyum.

Kejayaan itu menjadi pemangkin kepada projek Trash to TrashURE (Urban Recycling Ecosystems) yang dilancarkan dua tahun kemudian.

Menurut Yap, proses pembuatan kompos bukan sekadar membuang sisa ke dalam tong. Ia merupakan satu ekosistem tersusun yang melibatkan mikroorganisma dan serangga.

“Sisa dapur seperti kulit buah, hampas kopi dan kulit telur diurai dengan bantuan cacing tanah serta serangga.

“Manakala sisa makanan dimasak seperti nasi atau ikan pula memerlukan bakteria seperti lactobacillus dan kulat seperti aspergillus dan penicillium,” jelasnya.

To interview Yap Jing Zong, youth sustainability advocate who founded 4Leaf Nursery to turn food waste into wealth through sustainable composting and urban farming. (September 2 2025) — ART CHEN/The Star

Terung merupakan sebahagian daripada tanaman di Kebun Bandar Lestari Setapak Permai. — ART CHEN/ The Star

Untuk memastikan kompos kekal seimbang, daun kering dan habuk kayu ditambah bagi mengelak bau busuk dan memastikan tanah sentiasa berudara.

“Kalau sisa makanan boleh bercakap, ia akan kata: ‘Kenapa buang aku? Aku berharga!’” selorohnya.

Namun di sebalik jenaka itu, Yap serius dalam misinya membina ekosistem lestari bandar. Bagi memastikan URE berfungsi, katanya, lima unsur utama diperlukan meliputi kemudahan, pasukan operasi, pendidikan, kerjasama dengan pihak berkuasa serta pasaran untuk hasil.

Salah satu contoh kejayaan nyata ialah Kebun Bandar Lestari Setapak Permai, hasil kerjasama dengan Persatuan Penduduk Setapak Permai dan sukarelawan dari flat PPR berhampiran.

Kebun itu menerima sekitar 200 kilogram sisa makanan setiap hari daripada penduduk, restoran serta Hospital Kuala Lumpur.

Semua sisa tersebut diproses menjadi kompos bagi menyuburkan pelbagai tanaman daripada tebu, pisang, markisa dan limau hingga sayur-sayuran seperti bayam Brazil, bendi, keladi dan cili.

Asri memeriksa anak benih tanaman yang ditabur baja kompos. — MING TEOH/ The Star

Bunga-bungaan seperti bunga matahari dan mawar kampung pula membantu proses pendebungaan semula jadi.

Ini merupakan projek komuniti ketiga kendalian Yap selepas Sepang dan Sungai Long, dengan perancangan untuk memperluasnya ke Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Kuala Lumpur.

Bagi Norfaizah Mansor, 54 tahun, suri rumah dari PPR Seri Semarak, kebun itu kini menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.

“Saya datang pagi pukul 10 dan di sebelah petang lepas selesai buat kerja rumah. Kadang-kadang sampai ke malam,” katanya sambil ketawa kecil.

Tugasnya termasuk menyiram tanaman, membaja dan menyembur racun serangga organik bagi mencegah penyakit.

“Kami seronok tengok hasilnya. Buah dan sayur nampak 'gemuk' dan segar,” ujarnya bangga.

Menurut Norfaizah, hasil tanaman dijual semula kepada komuniti setempat, manakala lebihan dijual kepada pelanggan luar.

“Baru-baru ini kami jual air tebu hasil tanaman sendiri. Ada juga bunga telang yang kami guna untuk nasi kerabu,” katanya sambil menunjukkan bunga biru kecil yang mekar di sudut kebun.

To interview Yap Jing Zong, youth sustainability advocate who founded 4Leaf Nursery to turn food waste into wealth through sustainable composting and urban farming. (September 2 2025) — ART CHEN/The Star

Yap (berbaju biru) bersama Norfaizah (kiri)) and Asri (duduk, kiri). — ART CHEN/ The Star 

Turut membantu ialah Asri Termizi, 60 tahun, pesara yang juga ahli Persatuan Penduduk Setapak Permai.

“Saya datang setiap hari, kira-kira pukul 6 pagi dan di sebelah malam antara pukul 8 atau 9 untuk pantau anak benih,” katanya.

Di bawah rumah semaian yang dibinanya daripada jaring, dawai dan buluh, Asri menunjukkan barisan anak benih bendi, kacang panjang dan daun kesum.

“Kami guna baja kompos yang Yap bantu hasilkan. Bila anak benih dah kuat, kami pindahkan ke polibeg dan teruskan tanam.”

Bagi Yap, kebun komuniti bukan sekadar tempat bercucuk tanam tetapi ruang untuk menumbuhkan kehidupan dan semangat kejiranan.

Kini, sebahagian besar hasil tuaian digunakan untuk keperluan penduduk, namun dengan sokongan lebih besar, projek sedemikian berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada komuniti bandar.

“Kalau sampah tak ada penyelesaian, ia kekal sampah. Tapi bila digabungkan dengan URE, ia jadi TrashURE (treasure) — harta yang menyuburkan,” katanya tersenyum. — The STAR / MING TEOH

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram