
USAHAWAN Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran, Nur Sabrina Md Salleh, 30, yang mengusahakan bisnes kek dan pastri dari rumahnya di Sungai Buloh, Selangor dinobatkan sebagai juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY Lead) dalam satu majlis di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada Selasa.
Ibu kepada tiga orang anak itu berjaya membawa pulang geran perniagaan berjumlah RM5,000, piala dan sijil pengiktirafan dari Selangor Youth Community (SAY).
Pengusaha kraftangan batik, Norhaiza Selamat (OKU pendengaran) pula meraih gelaran naib juara dan memenangi geran perniagaan berjumlah RM4,000.
BACA LAGI: Gaji RM2,500 pun boleh buat! Kaedah S-N-O-W-B-A-L-L langkah bijak lunaskan hutang satu persatu
Raja Muda Selangor (tengah) bergambar bersama barisan peserta peringkat akhir Liga Usahawan OKU SAY Lead Selangor.
Di tempat ketiga ialah pengusaha sambal dan rendang sedia dimakan menerusi jenama Nalis Food, Nor Azura Othman, 44.
Usahawan OKU fizikal itu memenangi geran perniagaan RM3,000, piala dan sijil pengiktirafan.
Ketiga-tiga mereka diangkat sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor sekali gus layak ke peringkat seterusnya iaitu SAY Lead+, program selama tiga bulan dengan bimbingan kewangan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Pada masa sama, anugerah Usahawan Harapan diberikan kepada OKU masalah pembelajaran, Nur Nuha Mohd Fadzil (pengusaha makanan Jepun) dan OKU autisme, Aiman Aznur Mohd Azhar (usahawan kraftangan ecoprint) yang masing-masing memenangi geran perniagaan RM1,000.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengasas dan penaung Diraja Selangor SAY.
Turut hadir Exco Pembangunan Belia Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Mohd Najwan Halimi.
Program SAY Lead berjaya menarik sebanyak 30 penyertaan sebelum 10 usahawan OKU terbaik dipilih membuat pembentangan akhir di hadapan lima juri yang diketuai Raja Muda Selangor sendiri.
Nur Sabrina ketika ditemui berkata, program SAY Lead banyak membantu dia memahami cara membina kepercayaan pelanggan melalui Google Business, strategi media sosial dan pengurusan kewangan asas.
"Saya bermula tanpa apa-apa. Buat kek pun pernah tak menjadi tapi saya tetap berusaha sampai berjaya.
"Pengetahuan mengenai bisnes pun tiada namun apa yang diajarkan coach menerusi program ini dirasakan bukan sekadar membantu perniagaan bertahan tetapi terus berkembang di masa depan," katanya yang kini menjual pelbagai pencuci mulut seperti tiramisu, kek keju mangga dan sebagainya.
Bagi Azura pula, dia amat bersyukur kerana menganggap penat lelah mengusahakan perniagaan sambal dan rendang sedia dimakan, berhasil menerusi pengiktirafan yang diterima.
Norhaiza juga memanjatkan kesyukuran dan berharap geran yang diterima dapat membantu mengembangkan perniagaan yang diusahakan bersama suami yang juga OKU fizikal.
Penganjuran kali ini menampilkan keistimewaan kerana mendapat sokongan dan kerjasama strategik agensi kerajaan iaitu PUNB yang menyumbang RM20,000 bagi memastikan usahawan tersebut dapat dibimbing pada masa akan datang.
SAY Lead yang berlangsung sejak Mei lalu juga mendapat penajaan Google sebagai tambahan.
Para peserta terpilih menjalani kursus perniagaan melibatkan modul seperti profil keusahawanan, penjenamaan dan pemasaran digitalisasi serta pengurusan kewangan.
Mereka juga terbabit dalam sesi perkongsian bersama agensi berkaitan dan bengkel bisnes profil serta pembentangan perniagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram