
TERLETAK berdekatan Starling Mall di Damansara Utama, Petaling Jaya, medan selera Uptown Damansara sememangnya tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai.
Sama ada waktu makan tengah hari atau malam minggu, deretan gerai di situ sentiasa menjadi tumpuan buat pencinta 'hawker street food' yang mencari hidangan enak pada harga berpatutan.
Para peniaga di medan selera yang cukup nostalgik itu bagaimanapun dikhabarkan berdepan detik getir kerana ramai mengambil keputusan menutup operasi berikutan kenaikan kadar sewa yang mendadak.
BACA LAGI: Bawa beg lutsinar ke sekolah seperti sistem Henry Gurney, setujukah ibu bapa?
Menurut perkongsian seorang pengguna Threads, kadar sewa bagi sebuah gerai kecil di kawasan itu dikatakan akan dinaikkan kepada RM9,000 sebulan bermula bulan depan, berbanding sekitar RM6,000 sebelum ini.
“Saya baru tahu berita menyedihkan ini. Tempat makan kegemaran saya di Uptown Damansara, sebelah Starling Mall dinaikkan sewa ke RM9,000 sebulan.
"Saya dah 27 tahun makan di sini. Semua peniaga yang saya panggil aunty dan uncle cakap bulan ini bulan terakhir mereka berniaga,” tulis Iman Qhadijah.
Perkongsian itu segera menarik perhatian ramai netizen yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib peniaga lama yang menjadi sebahagian daripada memori masyarakat setempat.
Ramai turut berpendapat bahawa kenaikan sewa yang terlalu tinggi akan menyebabkan lebih banyak peniaga kecil gulung tikar, sekali gus menghapuskan identiti kulinari tempatan yang selama ini menjadi tarikan kawasan Uptown Damansara.
“Sedih betul. Ini tempat 'legend', ramai yang membesar makan kat sini,” tulis seorang pengguna lain.
Bagi pengunjung setia, medan selera itu bukan sekadar tempat makan tetapi juga lokasi penuh kenangan zaman kanak-kanak dan remaja, sekali gus menjadikan penutupan ini satu kehilangan besar kepada komuniti setempat.
“Kalau betul bulan ini operasi terakhir, marilah kita sama-sama pergi sokong mereka untuk kali terakhir,” kata Iman Qhadijah lagi.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan mengenai punca kenaikan kadar sewa tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram