'Selagi masih sihat, ada kemampuan, jangan tangguh haji', syarat baharu bagai peringatan lembut daripada ALLAH


  • Massa
  • Isnin, 20 Okt 2025

Ibadah haji adalah perjalanan rohani yang mencabar fizikal, mental dan emosi. — Gambar hiasan/ Janaan AI

PENGUMUMAN mengenai syarat kesihatan baharu bagi bakal jemaah haji mulai musim 1447H/ 2026M mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, terutamanya di Facebook apabila ramai mengakui terkesan dan tersentuh dengan ketetapan tersebut.

Langkah itu diumumkan selepas Kerajaan Arab Saudi menetapkan hanya jemaah yang benar-benar sihat dan mampu melaksanakan ibadah secara sendiri dibenarkan menunaikan haji, manakala individu dengan penyakit kronik atau kurang stabil, tidak lagi layak.

Antara penyakit yang tersenarai termasuk kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis, penyakit jantung serius, paru-paru kronik (perlu bantuan oksigen) dan penyakit hati kronik atau kegagalan fungsi hati.

BACA LAGI: Aduan video 'racun' TikTok menjadi, tak sampai 24 jam pihak berkuasa China buat kerja baiki masalah infrastuktur

BACA LAGI: NADI raih Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat Melaka 2025

 

 

Selain itu ialah pesakit kanser yang masih menjalani rawatan, warga emas dengan dementia (nyanyuk) serta fizikal terlalu lemah, masalah mental dan neurologi yang menjejaskan fungsi kognitif serta kehamilan berisiko tinggi.

Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya menjelaskan, peraturan itu bukan bertujuan menyulitkan, sebaliknya bagi memastikan keselamatan dan keupayaan fizikal jemaah yang perlu berdepan cabaran perjalanan jauh serta cuaca ekstrem di Tanah Suci.

Namun di media sosial, ramai pengguna melihat keputusan itu sebagai satu peringatan lembut daripada ALLAH kerana ibadah haji adalah perjalanan rohani yang mencabar fizikal, mental dan emosi.

Seorang pengguna Facebook, Muhammad Azmi berkata, ramai ingat haji cuma tawaf dan saie tapi di sebalik setiap langkah sebenarnya ada ribuan meter yang perlu dijalani di bawah panas terik, manusia yang berasak-asak dan tekanan fizikal luar biasa.

"Bagi yang sihat pun kadang-kadang tercungap apatah lagi bagi yang sudah lemah bergantung pada mesin oksigen atau menjalani rawatan hospital," katanya.

Menurutnya, selagi masih sihat jangan bertangguh sebab mungkin hari ini tubuh kita kuat tapi esok lusa belum tentu lagi dapat merasai nikmat sama.

“Betul... jangan tunggu tua baru nak daftar haji. Badan dah tak kuat, masa tu mungkin dah tak layak,” tulis seorang pengguna Facebook di ruangan komen.

Ada juga yang menyifatkan syarat baharu itu sebagai 'wake-up' call buat generasi muda untuk tidak menangguh ibadah haji selagi masih sihat dan berkemampuan.

“Kalau ALLAH bagi peluang, jangan tangguh. Mungkin ini cara ALLAH nak suruh kita segera bersedia,” tulis seorang lagi pengguna.

Ramai turut memuji langkah Tabung Haji yang menasihatkan bakal jemaah supaya mula menjalani pemeriksaan kesihatan awal sebagai persediaan sekiranya berhasrat menunaikan haji pada 2026.

“Haji bukan sekadar panggilan, tapi satu ujian. Bila ALLAH izinkan kaki melangkah ke Tanah Suci itu bukan semata-mata rezeki, itu tanda ALLAH masih beri peluang untuk bertaubat sebelum tubuh tak lagi mampu sujud di hadapan Kaabah,” tambah Muhammad Azmi.

Perkongsian berkaitan syarat baharu ini turut tular di platform Facebook sejak hujung minggu lalu dengan ribuan reaksi dan komen yang rata-ratanya bersetuju bahawa kesihatan harus menjadi keutamaan dalam menunaikan ibadah haji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram