
SEORANG lelaki dari Shenzhen, China menarik perhatian ramai apabila memuat naik beberapa video di platform Douyin (TikTok versi tanah besar China) yang menyorot pelbagai masalah infrastruktur di bandar itu.
Pada masa sama, lelaki terbabit turut mencadangkan penyelesaian praktikal yang boleh dibuat pihak berkuasa bagi membaik pulih masalah itu.
Menariknya, kebanyakan isu yang diketengahkan oleh lelaki itu mendapat maklum balas segera daripada pihak berkaitan sebelum diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
Antara aduan yang dikongsikan termasuklah masalah pokok yang menghalang laluan pejalan kaki. Dalam videonya, lelaki itu menunjukkan bagaimana kedudukan pokok tersebut mengganggu laluan dan mencadangkan agar ia ditebang bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
Menerusi rakaman susulan, pokok berkenaan dilihat sudah ditebang dan laluan pejalan kaki itu diturap semula dengan baik.
Selain itu, dia turut menunjukkan keadaan lantai jubin di sebuah jejambat yang pecah dan merekah hingga membahayakan pengguna, terutamanya yang menggunakan kereta sorong bayi.
Tidak lama kemudian, jubin tersebut diganti baharu menjadikan laluan di jejambat itu lebih selamat dan mesra pejalan kaki dan pengguna berkerusi roda.
Dalam satu lagi video, lelaki terbabit menegur keadaan penutup longkang konkrit yang pecah serta dinding bangunan yang pudar catnya dengan kedua-dua isu itu juga kemudiannya dibaiki dan dicat baharu.
Dia turut meninggalkan komen dalam nada berseloroh dengan berkata, "Nampaknya ketua jabatan tertentu arahkan staf mereka pantau akaun Douyin saya untuk dapatkan maklum balas.”
Tindakan pantas pihak berkuasa di Shenzhen itu secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya respons cepat terhadap maklum balas awam, terutama apabila ia melibatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Pihak berkuasa tempatan di Malaysia juga boleh mencontohi tahap kecekapan majlis perbandaran di China dan bukan sekadar menunggu aduan rasmi, tetapi lebih proaktif memantau rungutan rakyat di media sosial sebagai bentuk maklum balas komuniti.
Dalam era digital kini, aduan bukan lagi perlu melalui borang dan surat rasmi semata-mata.
Kadangkala video ringkas sedemikian sudah cukup untuk mendedahkan isu di lapangan asalkan ada tindak balas pantas dan tindakan susulan yang telus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram