
LAZIMNYA, perana pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah menguatkuasakan undang-undang dan memudahkan urusan penduduk setempat jika ingin melakukan sesuatu di tempat awam.
Sebagai contoh, peniaga jalanan akan berhubung dengan PBT untuk memudahkan urusan mereka terutamanya bagi sewaan tapak dan lesen berniaga.
Namun, itu tidak berlaku di Sungai Petani, Kedah apabila peniaga-peniaga kecil berasa kecewa dengan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) yang membuatkan mereka berasa tertindas.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas dituduh guna duit palsu, pelancong China dakwa peniaga Semporna tipu saiz lobster
Dalam perkongsian di laman Penduduk Sungai Petani, peniaga-peniaga di Wisma Ria meluahkan kekecewaan selepas MPSPK mengambil alih tapak mereka berniaga.
Kata mereka, selepas MPSPK mengambil alih, urusan peniaga untuk berniaga jadi caca-merba dengan mereka perlu merebut tapak setiap hari.
Sebelum ini, mereka sudah tahu lokasi tapak sendiri dan tiada sebarang isu sesama peniaga.
"Dulu suasana aman. Masing-masing tahu tapak sendiri, tak kacau orang. Lepas mereka masuk, suasana terus berubah, tegang, tak tentu arah, penuh ketakutan.
"Ada peniaga sampai terpaksa berhenti satu kerja tetap sebab setiap pagi kena datang awal nak dapatkan tapak sendiri.
"Pendapatan pun separuh. Padahal kami bukan nak rampas hak sesiapa, cuma nak duduk di tempat kami sendiri," katanya.
Kata mereka, sejak perubahan tersebut dilakukan jualan semakin merudum dengan pelanggan turut mula menjauhkan diri daripada datang ke situ.
Peniaga berkata yang jualan mereka merudum hingga hanya mampu meraih RM20, RM30 sehari.
"Yang lagi kesian, peniaga belakang kena mengemis cari ruang di depan. Mereka sudah lama meniaga, pelanggan pun dah kenal, tapi sekarang terpaksa pindah sebab pelanggan tak lalu belakang dah.
"Sekarang pelanggan pun dah mula bising. Ramai cari gerai, tak jumpa. Sekejap depan, sekejap belakang. Akhirnya malas, terus balik. Nak salahkan pelanggan pun tak boleh. Kami sendiri pun pening.
"MPSPK, turunlah ke tapak tengok sendiri. Tengok berapa ramai pelanggan dah hilang. Tengok berapa ramai peniaga Melayu yang dah tak mampu bertahan.
"Peraturan baru ni bukan bantu, tapi menindas," ujarnya.
Mereka mencadangkan agar MPSPK mengekalkan kedudukan asal peniaga lama dengan peniaga baharu mengisi baki tapak yang ada supaya tidak mengelirukan semua pihak.
Pendekatan tersebut dilihat lebih baik dengan ia mampu menyenangkan semua pihak.
Masih belum ada kenyataan balas daripada pihak MPSPK mengenai luahan peniaga tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram