[VIDEO] Lepas dituduh guna duit palsu, pelancong China dakwa peniaga Semporna tipu saiz lobster


  • Tular
  • Selasa, 21 Okt 2025

Tangkap layar ketika pelancong dari China itu membeli udang galah di Semporna.

SATU video tular di media sosial memaparkan pasangan pelancong warga China mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan ketika membeli makanan laut di sebuah pasar di Semporna, Sabah. 

Rakaman berdurasi beberapa minit itu dikongsikan oleh pengguna akaun TikTok bernama FanTeXi, yang meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa ditipu oleh seorang penjual udang galah di pasar berkenaan.

Menurut pelancong tersebut, insiden itu berlaku ketika mereka membeli lobster di pasar Semporna, namun saiz udang yang diterima dikatakan berbeza daripada pilihan asal.

BACA LAGI: Sabah, Sarawak terima peruntukan pembangunan tertinggi Belanjawan MADANI 2026

BACA LAGI: [VIDEO] PBT Sabah rampas 'paddle board' bersepah cacatkan pemandangan Pantai Tanjung Aru

"Saya membeli makanan laut di Semporna, Malaysia, tetapi ditipu apabila saiz udang itu ditukar,” katanya dalam video yang dimuat naik di platform TikTok pada Isnin. 

FanTeXi turut menjelaskan bahawa kekecohan bermula apabila dia ingin membuat pembayaran menggunakan wang tunai, namun penjual mendakwa wang tersebut adalah palsu.

"Selepas saya menyerahkan wang itu, mereka mengatakan duit saya palsu. Sedangkan semua wang tunai yang saya gunakan adalah wang RM50 yang saya keluarkan dari mesin ATM di lapangan terbang,” jelasnya.

Tambahnya, selepas urusan berkenaan, dia akhirnya menyedari bahawa udang galah yang diterima jauh lebih kecil daripada dipilih sebelum itu.

"Tiada masalah dengan wang itu, mereka yang silap. Tetapi saya dapati udang galah itu jauh lebih kecil daripada yang saya pilih, lalu saya segera mengambil semula wang saya.

"Berhati-hatilah ketika membeli makanan laut di pasar ini," katanya lagi.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan atau peniaga terbabit berhubung dakwaan itu, namun video berkenaan telah meraih ribuan tontonan serta mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram