
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mensasarkan untuk menguasai ranking nombor satu dunia dalam tiga kategori dalam masa lim tahun mengikut program Tangkis 2030.
Berdasarkan program tersebut, terdapat beberapa sasaran yang ditetapkan oleh BAM untuk lima tahun ke depan dalam mencapai sasaran Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia.
Ketika ini, terdapat beberapa kategori yang boleh mencapai sasaran itu iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
BACA LAGI: Bukan beregu biasa-biasa, badminton simbol gandingan pelbagai kaum berpadu tenaga demi Malaysia
Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara bintang berpotensi meraih kedudukan nombor satu dunia.
Dalam beregu lelaki, sasaran itu boleh dicapai oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik (nombor 2 dunia), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (nombor 3) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (nombor 7).
Sementara Pearly Tan-M. Thinaah berada di kedudukan kedua dunia beregu wanita manakala beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menduduki posisi keempat.
Selain daripada menguasai ranking, BAM turut mensasarkan untuk menjadi juara Piala Thomas 2026 selain membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Satu lagi sasaran adalah untuk melestarikan proses penghasilan juara dunia bagi badminton Malaysia.
Bagi Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, sasaran yang ditetapkan harus tinggi kerana tiada guna untuk terus kekal di zon selesa.
"Kami perlu mempunyai visi yang memberikan cita-cita. Saya rasa kami tak perlu letakkan sasaran yang kami senang-senang boleh capai. Kami perlu sasarkan sesuatu yang boleh mencabar kami. Ia mungkin sukar.
"Jika lihat pada ranking hari ini, terutamanya beregu, kami mempunyai semua (wakil) dalam semua kategori di kedudukan 10 terbaik. Jadi, tidak mustahil bagi tiga yang berada dalam 10 teratas ini juga boleh mencapai kedudukan nombor satu," katanya.
Melihat kepada persembahan pemain perseorangan yang kurang menyerlah ketika ini, Zafrul berharap pada 2030, Malaysia mempunyai pemain berkualiti untuk kategori tersebut.
"Tapi menjelang 2030, kami berharap pemain perseorangan akan menjadi calon untuk posisi (nombor 1 dunia). Jadi, pembangunan akar umbi akan menjadi penting.
"Hari ini, kami fokus bukan saja kepada pemain sedia ada namun pemain masa depan badminton Malaysia," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram