
SATU masa dahulu, sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pernah menjadi tontonan ramai dengan ia menjadi salah sebuah siri paling diikuti di Malaysia.
Pelakon-pelakon seperti Datuk Imuda, Sathiya dan Sabri Yunus antara yang mekar dalam ingatan penonton semua.
Namun itu cerita lama, kini lain kisahnya dengan pelakon-pelakon sudah pun semakin berusia malah ada yang sudah tiada.
BACA LAGI: [VIDEO] Sultan Brunei terjatuh ketika majlis konvokesyen, status kesihatan masih misteri
Terkini, Sathiya yang terkenal dengan membawa watak Ravi dalam sitkom itu dilaporkan sakit dan memaksa kakinya dipotong.
Di media sosial, Imuda berkongsi yang dia bersama isterinya meluangkan masa melawat Sathiya di kediamannya pada Rabu.
"Saya dan isteri saya menziarahi sahabat saya Sathiya di kediamannya Rabu lepas. Atas kesibukan kerja saya tak dapat menziarahi Sathiya di hospital tempoh hari.
"Sathiya dalam keadaan baik setelah menjalani pembedahan pemotongan kaki. Semoga terus sihat macha," kata Imuda.
Dalam video yang dikongsikan oleh Imuda itu jelas dapat didengar yang Sathiya mengatakan dia tetap gembira walaupun diuji dengan begitu berat.
"Saya gembira saja, sikit saja potong (kaki)," kata Sathiya.
Melihat kepada senyuman dilemparkan oleh Sathiya, ramai yang kagum akan ketabahannya diuji dengan begitu hebat.
"Suka dengan semangat Ravi. Walaupun dgn masalah kesihatan yang dia tanggung, dia tetap positif dan ceria. Semoga cepat sembuh Sathiya," kata Saiful Zara.
"Nampak macam dah semakin sihat, tak macam mula-mula masuk hospital, kurus sangat. Semoga semakin sihat," ujar Norliana Muhammad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram