
STAR Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung tempatan dan antarabangsa selepas berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Oktober di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak.
Acara berkenaan turut mendapat pujian ramai kerana berjaya menyerlahkan kehangatan rakyat Malaysia, kepelbagaian budaya serta keunikan produk pelancongan tempatan, sekali gus memperkukuh daya tarikan negara menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sepanjang penganjuran karnival itu, ribuan pengunjung membanjiri Plaza Merdeka bagi menyaksikan pelbagai pameran menarik yang mengetengahkan pelancongan domestik, budaya, makanan dan gaya hidup masyarakat tempatan.
BACA LAGI: Meriah di Bumi Kenyalang! Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia rai budaya dan destinasi terbaik negara
Karnival anjuran Tourism Malaysia dan Star Media Group berkenaan merupakan siri ketiga jelajah seluruh negara bagi menggalakkan pelancongan dalam negeri serta menawarkan pengalaman santai berkonsep kekeluargaan kepada masyarakat setempat.
Pelbagai reruai menarik turut menampilkan promosi hotel, inap desa, agensi pelancongan, taman tema serta produk tempatan dari seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Perancangan), Datin Rafidah Idris (berbaju biru) dan Pengurus Besar Kanan Pemasaran Jenama Pelanggan Star Media Group, Sharon Lee Li Wei (berbaju merah) bersama penaja, pempamer dan persembahan kebudayaan sempena pelancaran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Plaza Merdeka, Kuching.
Inisiatif hebat menggambarkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum
Antara pengunjung antarabangsa yang hadir ialah Margaret Murray dari Ireland yang tertarik dengan Malaysia selepas berkenalan dengan rakan rakyat Malaysia ketika menetap di United Kingdom (UK).
“Saya mengenali sahabat saya dari Kuching ketika di UK dan telah beberapa kali datang ke sini untuk bertemu keluarganya.
"Karnival ini satu inisiatif hebat yang menggambarkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan cara terbaik mempromosikan keindahan negara anda,” katanya.
Margaret turut meluangkan masa mengunjungi bazar utama bandar raya dan mengagumi hasil kraf tangan buatan Sarawak.
“Saya sangat sukakan barangan kemas buatan masyarakat peribumi di sini. Malaysia patut dikunjungi kerana keramahan rakyatnya, makanan, pemandangan indah serta keunikan produk tempatan,” ujarnya.
Sekumpulan penari dari Kampung Budaya Sarawak mempersembahkan tarian tradisional dengan penuh anggun ketika STAR Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Plaza Merdeka, Kuching.
Promosikan pelancongan berasaskan alam semula jadi
Sementara itu, agensi pelancongan tempatan AJ Borneo Tours & Travels turut mempromosikan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan hidupan liar di Sarawak dan Sabah.
Wakil syarikat, Umi Norzie Allizha berkata pihaknya menumpukan pakej pengembaraan dan kembara semula jadi merangkumi sewaan kenderaan, tempahan hotel, tiket penerbangan serta lawatan berpandu.
“Sarawak menawarkan peluang unik kepada pelancong untuk melihat orang utan di habitat semula jadi seperti di Taman Negara Batang Ai, Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Matang,” katanya sambil menjelaskan setiap lokasi mempunyai fungsi berbeza antara pemulihan dan pemuliharaan.
Antara tarikan utama di karnival tersebut ialah penyertaan Sarawak Cultural Village (SCV) yang menarik ramai pengunjung untuk mengenali kepelbagaian warisan negeri itu.
Pegawai perhubungan awam SCV, Pierre Littbaski Anak Ghani, 35, berkata penyertaan itu membuka peluang untuk mempromosikan pelancongan budaya kepada masyarakat.
“Kami berterima kasih kepada The Star kerana sekali lagi menjemput kami selepas edisi 2020. Walaupun SCV sudah dikenali ramai, acara seperti ini penting untuk memperkenalkan penambahbaikan yang kami lakukan serta menarik pelawat baharu,” katanya.
Pengunjung dari Rusia tertarik dengan kraftangan yang dipamerkan di salah sebuah reruai Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Plaza Merdeka, Kuching.
Diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej inap desa
Dalam masa sama, penyertaan Akal Homestay Pusa turut mencuri perhatian dengan mempamerkan pelbagai produk desa termasuk gula apong, garam apong, kuih sepit lemantak, tumpik dan manisat hasil tangan penduduk tempatan.
Penyelianya, Abang Asnawi, 30, berkata homestay tersebut menyediakan beberapa pilihan penginapan seperti rumah kayu, rumah batu dan rumah VIP yang sesuai untuk keluarga serta kumpulan pelancong.
“Kami juga menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej inap desa selain memberi baucar dan cenderamata kepada pengunjung yang membeli produk atau menyertai kuiz,” ujarnya.
Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Kuching ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional yang bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia meneroka semula keindahan serta kepelbagaian destinasi pelancongan tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram