[VIDEO] 'Thank you ma for the food', ucapan kecil jadi kenangan terakhir ibu sebelum anaknya maut dibuli


  • Benua
  • Ahad, 19 Okt 2025

Timothy (kanan) dikatakan terjun dari tingkat dua Bangunan FISIP di Kampus Sudirman pada Rabu.

KISAH tragis menimpa penuntut Universiti Udayana (Unud), Bali, Indonesia Timothy Anugerah Saputra mengundang sebak dan kemarahan ramai selepas pelajar cemerlang itu dilaporkan menamatkan riwayatnya sendiri dipercayai akibat tekanan buli di kampus.

Insiden menyayat hati itu berlaku pada Rabu (15 Oktober lalu) apabila Timothy dikatakan terjun dari tingkat dua Bangunan Fakulti Ilmu Sosial dan Politik (FISIP) di Kampus Sudirman, Denpasar.

Tragedi itu tidak hanya meninggalkan duka kepada keluarga dan rakan-rakannya, malah turut mencetuskan kemarahan umum apabila segelintir pelajar kampus berkenaan didakwa menjadikan kejadian itu sebagai bahan jenaka dalam kumpulan WhatsApp mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Sultan Brunei terjatuh ketika majlis konvokesyen, status kesihatan masih misteri

BACA LAGI: Penyakit misteri disyaki punca penduduk kampung di Bihar meninggal dunia di usia muda, warganya kini makin resah

Tangkapan skrin perbualan kumpulan itu tular di media sosial selepas dimuat naik akaun X, @unudmenfess, memaparkan beberapa pelajar meninggalkan komen berbaur ejekan terhadap berita kematian mangsa.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu menerima kecaman hebat warganet, khususnya selepas timbul dakwaan bahawa individu yang dikaitkan dengan kes buli berkenaan merupakan pelajar aktif dalam organisasi kampus.

Sementara itu, pihak universiti serta rakan-rakan rapat menggambarkan Timothy sebagai seorang pelajar yang sopan, rajin dan berprestasi tinggi.

Timbalan Dekan III FISIP Unud, I Made Anom Wiranata turut menyifatkan Timothy sebagai seorang pelajar teladan yang memiliki minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

Tangkap layar isi perbualan sebilangan pelajar Unud, pelaku buli Timothy.

"Timothy seorang pelajar yang sopan, kemas dan sangat prihatin terhadap suasana bilik darjahnya,” katanya sambil menambah, mangsa sering terlibat dalam penyelidikan bersama pelajar senior dan mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91.

Pelajar jurusan Sosiologi itu dilahirkan di Bandung pada 25 Ogos 2003 dan terkenal dengan sikapnya yang teliti serta berdisiplin termasuk tabiat mengemas kerusi sebelum memulakan sebarang aktiviti.

Rakannya iaitu Deon turut mengenang Timothy sebagai seorang yang lembut hati dan sentiasa memancarkan tenaga positif.

"Pada hari-hari terakhirnya, Timothy masih kelihatan ceria dan tersenyum,” katanya ketika majlis doa memperingati rakannya itu.

 

 

Lebih menyentuh hati, sebuah video dimuat naik oleh akaun X, @Akuratco memperlihatkan ibu Timothy menceritakan kenangan manis bersama anaknya yang disifatkan penuh kasih dan keikhlasan.

“Dia masih kecil waktu itu, tapi saya masih ingat. Itu seperti Tuhan berbicara melalui dia. Dia pernah tengok saya dengan mata yang polos dan berkata, ‘Thank you ma for the food.’

"Dia sangat ikhlas dan berterima kasih, walaupun perkara itu kecil saja," luah ibunya sebak.

Pemergian tragis Timothy kini menjadi simbol peringatan besar buat dunia pendidikan mengenai betapa pentingnya menangani isu kesihatan mental serta membanteras budaya buli yang masih berakar dalam institusi pengajian tinggi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram