
SEORANG ibu tunggal dan lapan anaknya terpaksa merempat di bawah sebuah blok flat selepas dihalau dari rumah sewa di Taman Cempaka dekat Tampoi, Johor pada Jumaat.
Insiden itu tular selepas pemilik akaun Facebook, Din Suradi, berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan keadaan keluarga berkenaan bersama barangan mereka yang diletakkan di tepi blok perumahan.
“Sapa kenal, kena usir. Lokasi di bawah blok Taman Cempaka,” tulisnya ringkas.
BACA LAGI : 'Anak saya ditikam 200 kali', ibu pelajar maut rayu hentikan sebar cerita palsu
Gambar yang dimuat naik itu menunjukkan keadaan keluarga berkenaan yang serba kekurangan, termasuk seorang kanak-kanak kecil dianggarkan berusia sekitar setahun lebih hanya memakai baju dan lampin.
Seorang penduduk mendakwa wanita berkenaan merupakan warga Indonesia yang mempunyai lapan anak dan kini hidup tanpa pekerjaan tetap. — Gambar/Din Suriadi
Susulan perkongsian itu, seorang penduduk di kawasan tersebut, Anonymous Participant 310, tampil memberi penjelasan wanita berkenaan merupakan warga Indonesia yang mempunyai lapan anak dan kini hidup tanpa pekerjaan tetap.
Menurutnya, wanita terbabit dikatakan diusir kerana gagal membayar sewa sepenuhnya dan sering berpindah randah akibat masalah kewangan.
“Anak-anak semua tidak bersekolah sebab tiada surat beranak. Ada saudara yang bantu, tapi katanya sering ambil kesempatan. Ketua kampung pun sudah datang tengok keadaan tadi.
"Saya tinggal di blok ini,” tulisnya.
Difahamkan, hasil maklum balas penduduk setempat, ketua kampung yang tidak didedahkan namanya itu turun padang dan berusaha membantu mendapatkan tempat perlindungan sementara untuk keluarga tersebut.
“Katanya malam ini, insya-ALLAH dapat rumah,” tambahnya.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang menzahirkan rasa simpati terhadap nasib keluarga tersebut sambil berharap bantuan segera dapat disalurkan bagi memastikan anak-anak kecil itu tidak terus hidup dalam kesusahan.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga malang itu mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram