[VIDEO] 'Ini RXZ bos, lagi mahal dari harga diri kau', komen balas di notis peringatan cetus kemarahan ramai


  • Tular
  • Isnin, 20 Okt 2025

Memo peringatan (kiri) kepada individu itu yang membawa motosikal masuk ke dalam lif.

TINDAKAN seorang individu membawa motosikal masuk ke dalam lif sebuah flat mengundang kecaman ramai selepas video memaparkan memo mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Video berdurasi 14 saat tersebut dimuat naik oleh pengguna Facebook, Mie Gie, memaparkan memo peringatan yang dikeluarkan pihak pengurusan flat berhubung insiden berkenaan. 

Menurut memo berkenaan, pengurusan perumahan itu menegaskan larangan membawa motosikal ke dalam lif dan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh dikenakan denda RM200.

BACA LAGI: [VIDEO] Sekurang-kurangnya 10 mangsa melecur, letupan mercun rencat keceriaan Deepavali di Kulim

BACA LAGI: [VIDEO] Suami 2 beranak mati dibunuh di Juru direman 7 hari bantu siasatan polis

"Jangan bawa motor ke dalam lift. Pejabat pentadbiran Blok D akan mengambil tindakan dan anda akan didenda RM200," jelas kenyataan itu.

Difahamkan, kejadian berlaku pada Isnin, 13 Oktober 2025 sekitar pukul 6.52 petang apabila individu yang dilihat seorang lelaki itu dilihat keluar dari lif bomba bersama motosikal jenis Yamaha RXZ.

Lebih mencuri perhatian, memo peringatan tersebut turut balasan daripada suspek dengan tulisan tangan yang berbunyi 'ini RXZ bos, lagi mahal dari harga diri kau'. 

Tindakan itu nyata menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan pelaku sebagai tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri.

"Jenis angkut motor naik lif ini, penting diri. Masa duduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dulu begini ada la perangai. Tengah malam usung naik lif. Pagi-pagi budak nak ke sekolah, dah satu kerja nak hadap puak-puak angkut motor ni. 

"Dah lif selalu rosak. Satu hari itu, siap mak budak tu pulak back up 'takut motor hilang'. Padahal jelas undang-undang PPR tak benarkan motor masuk lif," kongsi  warganet, Rashidi Razak. 

"Beli rumah atas tanah lah bro kalau nak bawa masuk rumah. Apa barang pakai motor-motor mahal-mahal duduk macam kek lapis," pendapat pengguna akaun Facebook, Mohd Aiman Othman. 

"Buruk perangai ingat mereka malam ke baru angkut motor dalam lif? Kena time nak sumbat motor orang lain atau keluarkan motor pergi kerja pagi-pagi tak ke menyusahkan orang yang nak guna lif itu," bagi pemilik akaun, Haidir Chemor. 

Setakat ini, pihak pengurusan flat belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai tindakan susulan terhadap individu berkenaan.

Tindakan membawa motosikal ke dalam lif bukan sahaja melanggar peraturan keselamatan, malah boleh membahayakan penghuni lain sekiranya berlaku kebocoran minyak atau percikan api. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram