NEA 2025 jadi pentas penghargaan pengeksport negara, platform perkukuh jenama Malaysia di peringkat global


  • Bisnes
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Dari kiri: Mansor Shah, Hazimah, Zaireen, Mohd Mustafa, Reezal Merican, Chan, Lydia dan Abu Bakar pada Majlis Pra-Peluncuran NEA 2025 di MATRADE pada Jumaat. — The Star

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Eksport Negara (NEA) 2025 bagi mengiktiraf sumbangan pengeksport negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju perdagangan global.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, NEA 2025 yang dianjurkan dengan kerjasama Star Media Group (SMG) akan menampilkan tujuh kategori anugerah utama bagi mengiktiraf sumbangan pelbagai segmen dalam ekosistem eksport.

Beliau berkata, kategori itu meliputi:

Pengeksport Terbaik - Syarikat Besar

Pengeksport Terbaik - Syarikat Multinasional

Pengeksport Terbaik - Syarikat Pertengahan

PKS Pengeksport Terbaik - Kemunculan Baharu

PKS Pengeksport Terbaik - Bumiputera

PKS Pengeksport Terbaik - Belia

PKS Pengeksport Terbaik - Wanita

BACA LAGI: Kerjasama SAY - MATRADE perkasa usahawan belia Selangor, bantu tembusi pasaran antarabangsa

BACA LAGI: SMG jadi rakan media rasmi Matrade, tingkat imej perdagangan antarabangsa Malaysia

Malaysia kini berada di tangga ke-24 sebagai negara perdagangan terbesar dan ke-25 sebagai negara pengeksport terbesar di dunia. — Gambar hiasan

Menurutnya, penganjuran NEA 2025 bukan sekadar untuk menonjolkan kecemerlangan industri, sebaliknya merupakan simbol penghargaan terhadap kepimpinan negara yang sentiasa komited memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global.

"Ia satu grand gesture untuk menyatakan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, atas usaha berterusan mereka memperjuangkan kepentingan ekonomi negara.

“Perdana Menteri dan YB Menteri kami sentiasa berada di barisan hadapan, tanpa jemu mengadakan pertemuan serta rundingan dua hala dengan pemimpin dunia.

"Usaha ini amat penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi yang sangat mencabar tahun ini,” katanya.

Reezal Merican turut memuji peranan mereka dalam menerajui pelbagai sidang kemuncak dan dialog di bawah Pengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, yang menurutnya, memastikan hubungan diplomatik, perdagangan dan ekonomi negara kekal kukuh dan progresif.

Launch of National Export Awards 2025 at Menara MATRADE, KualaLumpur. — YAP CHEE HONG/The Star

Reezal Merican berucap pada Majlis Pra-Peluncuran NEA 2025 di MATRADE pada Jumaat. — The Star

Katanya, inisiatif tersebut menjadi platform penting untuk menonjolkan kecemerlangan industri eksport Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan, tetapi satu usaha untuk mengangkat Malaysia sebagai negara perdagangan yang diiktiraf kerana nilai, keupayaan dan sumbangan globalnya.

"NEA ialah tanda penghargaan kepada wira eksport negara daripada syarikat besar sehinggalah kepada PKS, usahawan wanita, belia dan Bumiputera yang berani menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pra-Peluncuran NEA 2025 di MATRADE, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan MATRADE terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mansor Shah Wahid dan Abu Bakar Yusof serta Ahli Lembaga Pengarah Kanan, Datuk Hazimah Zainuddin.

Hadir sama Pengarah Bahagian Hubungan Ekonomi dan Perdagangan Dua Hala (Eropah & Timur Tengah), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Zaireen Omar.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan SMG terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chan Seng Fatt dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Lydia Wang serta Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, setiap penyertaan akan dinilai secara berasaskan data dan merit, serta diaudit oleh firma audit antarabangsa BDO untuk memastikan ketelusan dan kredibiliti mengikut amalan terbaik antarabangsa.

"Ia juga akan dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada pioneers, tokoh industri terkemuka di tanah air," katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata, pemenang anugerah NEA 2025 bakal menerima insentif khusus namun butiran masih di peringkat penelitian ketika ini.

"Langkah ini bukan sahaja bagi memperluas promosi jenama syarikat pemenang, tetapi juga untuk menjadi inspirasi kepada syarikat lain agar mencontohi kejayaan mereka. Jadi, sudah pasti kami akan meneliti perkara ini secara terperinci,” kata Mustafa.

Dalam pada itu, bercakap perkembangan mengenai eksport negara, Reezal Merican berkata, Malaysia kini berada di tangga ke-24 sebagai negara perdagangan terbesar dan ke-25 sebagai negara pengeksport terbesar di dunia.

Penganjuran MIHAS 2025 baru-baru ini mencatat rekod jualan melebihi RM4.5 bilion. — Gambar hiasan/ The Star

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, nilai eksport Malaysia meningkat 3.9 peratus kepada RM1.03 trilion, melepasi paras RM1 trilion.

"Tahun 2024 pula mencatatkan jumlah eksport keseluruhan sebanyak RM1.51 trilion, didorong oleh sektor elektrik dan elektronik, petroleum serta minyak sawit," katanya.

Reezal Merican turut berkongsi kejayaan pelbagai program eksport yang dikendalikan MATRADE, termasuk misi akselerasi eksport ke Mesir, Libya, Afrika Selatan dan Kenya yang berjaya menjana jualan eksport berjumlah RM1.36 billion.

Selain itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 yang mencatat rekod jualan melebihi RM4.5 bilion.

Beliau turut mengumumkan bahawa MIHAS International Edition akan diadakan di Shanghai, China pada 5 hingga 10 November ini menerusi penyertaan dalam China International Import Expo (CIIE), melibatkan 250 syarikat tempatan.

Justeru, katanya, NEA 2025 dianggap penting kerana menjadi penanda aras nasional pertama seumpamanya, dalam meraikan pencapaian eksport negara selain menjadi platform kolaborasi serta perkongsian ilmu kepada pemain industri.

Anugerah NEA 2025 dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025, dan akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk maklumat lanjut, layari nea.com.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram