SEORANG wanita berkongsi detik menyentuh hati apabila seorang murid sekolah menolak pelawaannya untuk membelikan baju baharu walaupun pakaian yang dipakai murid itu sudah koyak.
Menerusi perkongsian video di Facebook oleh Wann Nabierra, wanita berkenaan yang juga jururawat pergigian di sekolah itu memaklumkan bahawa murid tersebut menolak dengan sopan kerana bimbang ibunya akan memarahinya.
“Tak apa cik, ibu tak bagi. Nanti dia marah,” kata murid itu dengan nada lembut.
BACA LAGI : Merempat bawah flat selepas dihalau, nasib ibu tunggal warga Indonesia bersama 8 anak dibela penduduk Tampoi
BACA LAGI: [VIDEO] Seperti ada dendam lama, aksi 2 jiran bergaduh jatuhkan martabat wanita, semangat kejiranan
Malah, rakannya turut mengiyakan kata-kata tersebut.
“Nanti ibu dia marah. Dia pernah bagi tahu saya, ibu dia marah kalau ambil barang orang,” kata rakannya.
Walaupun begitu, Nabierra tetap melayan kedua-dua kanak-kanak itu dengan penuh kelembutan dan menawarkan untuk berbincang dengan ibu murid berkenaan selepas sambutan Deepavali.
“Tak apa, nanti selepas Deepavali, kakak tanya mak dulu. Kakak nak baju baharu tak? Nanti kita beli,” katanya.
Dalam video berkenaan, murid tersebut turut memberitahu bahawa dia merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan kedua-dua kakak serta abangnya masih bersekolah.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-rata tersentuh dengan kesopanan dan kejujuran murid tersebut, selain memuji cara didikan ibu bapanya.
Seorang pengguna, Bc Bc, berpendapat ibu bapa berkemungkinan melarang anak menerima pemberian orang lain bagi mendidik mereka supaya tidak bergantung pada belas ihsan.
"Punca ibu bapa marah sebenarnya bukan kerana tidak menghargai, tetapi kerana mereka tidak mahu anak terbiasa meminta-minta atau bergantung pada belas ihsan orang lain.
"Ia adalah cara untuk mendidik supaya anak belajar berdikari dan tidak meletakkan harapan pada pemberian orang sepanjang masa — kerana tidak selamanya akan ada orang di sisi kita.
"Arwah datuk saya pernah berpesan, “Kalau aku mati nanti, kamu akan hidup sendiri, jadi belajarlah berdikari dari sekarang.”
"Kalau ada orang memberi, hargailah, dan bila tiba masa, kita pula buat perkara yang sama kepada orang lain. Setiap ibu bapa ada sebab dan cara masing-masing dalam mendidik anak. Maaf jika kata-kata ini membuatkan ada yang kurang selesa," tulisnya.
Sementara itu, pengguna lain, Mariamul Azra, turut bersetuju bahawa tindakan si ibu mungkin berpunca daripada rasa risau jika anaknya meminta-minta atau menerima sesuatu tanpa kebenaran.
"Mungkin ibu murid itu bukan marah tanpa sebab, tetapi risau jika anaknya meminta-minta atau menceritakan hal keluarga kepada orang lain.
"Sebab itu, kalau cikgu atau mana-mana pihak nak beri sesuatu, sebaiknya maklumkan kepada ibu bapa terlebih dahulu.
"Saya sendiri pernah mengalami situasi hampir sama. Anak saya pernah dapat satu set baju sekolah agama dan terus menyerahkannya kepada saya.
"Saya terkejut dan beberapa kali bertanya, betul ke cikgu yang beri? Sampai anak saya pun nampak takut nak jawab. Selepas saya hubungi cikgu berkenaan, barulah saya tahu pihak sekolah memang ada beri bantuan baju sekolah.
"Sebenarnya, saya bukan marah tanpa sebab, saya cuma risau kalau anak saya terambil barang orang, mencuri, atau meminta simpati tanpa saya tahu.
Dalam suasana masyarakat yang semakin mencabar, kejujuran dan rasa hormat seperti ditunjukkan oleh kanak-kanak ini wajar dijadikan teladan buat generasi muda lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
