
TINDAKAN seorang wanita yang didakwa berpura-pura mengemis sambil membawa bayi bagi meraih simpati orang ramai di Pasar Malam Sekinchan, Selangor, menimbulkan tanda tanya apabila tindakannya itu dipercayai sebahagian daripada kegiatan sindiket pengemis terancang.
Insiden tersebut berjaya dirakam oleh salah seorang peniaga, dikenali sebagai Rizal, sebelum dimuat naik di akaun TikTok miliknya, rizalct1980, pada Rabu.
Video berdurasi hampir seminit itu menunjukkan wanita terbabit duduk di kawasan pasar malam sambil mendukung bayi dan meminta sedekah daripada pengunjung.
BACA LAGI : 'Anak saya ditikam 200 kali', ibu pelajar maut rayu hentikan sebar cerita palsu
BACA LAGI : Gambar dirakam ketika dalam perjalanan ke hospital, guru besar nafi murid cedera dipukul di Sipitang
Dakwa Rizal, wanita itu bukan kali pertama muncul di lokasi sama. Malah, dia dipercayai sering menukar ‘umpan’ dengan membawa kanak-kanak berbeza untuk menagih simpati orang ramai.
“Ini kali kedua dia datang. Minggu lepas dia bawa budak, hari ini pula bawa bayi. Umpan dia bawa 'budak' sahaja,” dakwanya.
Rizal turut mendakwa wanita itu mempunyai rakan subahat yang akan mengutip beg plastik berisi duit sedekah yang dibaling ke kawasan berhampiran.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
“Nampak tak, itu beg kedua dia campak ke belakang. Nanti ada yang kutip. Kalau satu beg ada RM400 ke RM500, dua beg dah berapa kutipan dia dapat,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, tindakan mencurigakan wanita tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga dan pengunjung kerana mereka berasa tertipu dengan modus operandi berkenaan.
“Kita bersedekah sebab kasihan, tapi kalau betul ada sindiket di sebalik semua ini, memang melampau. Orang yang betul-betul susah nanti yang terkesan,” katanya Ernie Fauzati.
Orang ramai di ruangan komen turut menyuarakan kebimbangan dan menggesa pihak berkuasa tempatan serta polis melakukan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi membanteras kegiatan pengemis sindiket seperti itu.
Ramai netizen turut menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan taktik eksploitasi bayi atau kanak-kanak yang digunakan untuk mengaut keuntungan melalui simpati orang awam.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram