[VIDEO] Dua termasuk warga emas parah, salah pasang sambungan tong gas dipercayai punca letupan di Jakarta Barat


  • Benua
  • Khamis, 16 Okt 2025

Enam buah rumah di Taman Palem Lestari dekat Cengkareng, Jakarta Barat rosak teruk akibat letupan tong gas pada Rabu. — Agensi

 

 

DUA individu cedera manakala enam rumah mengalami kerosakan selepas berlaku letupan gas di sebuah kediaman di Taman Palem Lestari dekat Cengkareng, Jakarta Barat, Indonesia pada Rabu.

Letupan tersebut berlaku kira-kira pukul 6 pagi ketika pemilik rumah yang hanya dikenali sebagai ES, 73 tahun, menyalakan dapur gas untuk memasak sebelum letupan kuat berlaku dan menggegarkan kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Balai Polis Cengkareng, Fernando Saharta Saragi berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kebocoran gas pada tong berisi 12 kilogram yang tidak dipasang dengan betul pada bahagian regulator.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Sudah 2 beg plastik berisi duit dia campak’, wanita bawa bayi disyaki ada kaitan sindiket pengemis di Sekinchan

BACA LAGI: Anak saya ditikam 200 kali', ibu pelajar maut rayu hentikan sebar cerita palsu

“Pemeriksaan mendapati regulator dan saluran gas longgar serta hanya diikat secara tidak sempurna oleh mangsa.

"Gas yang bocor terkumpul di ruang dapur sebelum meletup apabila dapur dinyalakan,” katanya.

Menurutnya, ES melecur hampir 70 peratus, manakala jirannya, WF, 47 tahun, cedera di kepala akibat terkena serpihan binaan rumah.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital berhampiran, dan ES kini dirujuk ke Hospital Pertamina bagi rawatan lanjut.

"Enam rumah berhampiran turut mengalami kerosakan termasuk sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah mangsa.

 

 

 

 

“Tiada kebakaran selepas letupan berlaku. Hasil pemeriksaan menunjukkan letupan berpunca sepenuhnya daripada kebocoran gas yang disambar api,” jelasnya.

Tambah Fernando lagi, polis kini bekerjasama dengan Makmal Forensik Polis Negara Indonesia bagi mengenal pasti punca sebenar letupan serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian.

Fernando turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan tong gas di rumah.

“Jika tidak yakin cara memasang regulator, dapatkan bantuan individu yang mahir. Jangan diikat atau dibaiki sendiri kerana kebocoran kecil boleh mengundang bahaya besar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi dan Tanggungjawab Sosial Pertamina Wilayah Jawa Barat, Susanto August Satria, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian tersebut serta meningkatkan program keselamatan pengguna.

“Pertamina akan bekerjasama dengan pengedar sah bagi memberikan penerangan kepada orang ramai tentang penggunaan tong gas yang selamat, termasuk kepentingan memeriksa regulator, saluran gas dan sistem pengudaraan dapur,” katanya.

Siasatan mendapati kebocoran pada tong gas menyebabkan gas berkumpul di ruang dapur sebelum meletup sebaik api dapur dihidupkan. — Agensi

Pertamina turut menasihatkan pengguna supaya tidak menggunakan regulator yang rosak atau lama, serta segera menjauh dan melapor kepada pihak berkuasa sekiranya terhidu bau gas di rumah.

Kejadian sama pernah berlaku pada 12 September lalu di Pamulang, Tangerang Selatan apabila seorang lelaki berusia 45 tahun meninggal dunia selepas seminggu dirawat akibat letupan gas di rumahnya.

Siasatan mendapati kebocoran pada tong gas menyebabkan gas berkumpul di ruang dapur sebelum meletup sebaik api dapur dihidupkan.

Dalam kejadian berasingan pada 8 Mei lalu, seorang bapa dan anak maut dalam kebakaran di Pademangan Barat, Jakarta Utara, selepas berlaku letupan gas ketika keluarga itu sedang bersiap untuk berniaga makanan.

Menurut data Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jakarta, sebanyak 1,653 kes kebakaran direkodkan antara tahun 2023 hingga 2024.

Daripada jumlah itu, 69.5 peratus berpunca daripada litar pintas elektrik, manakala selebihnya disebabkan kebocoran gas.

Ketua Unit Pencegahan BPBD, Rian Sarsono, berkata faktor utama kebocoran gas berpunca daripada pemasangan regulator tidak betul, saluran gas haus atau sistem pengudaraan dapur yang lemah.

“Insiden seperti ini menjadi peringatan bahawa kecuaian kecil di dapur boleh mengakibatkan tragedi besar,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram