
PROGRAM subsidi Budi MADANI RON95 (BUDI95) diperluas kepada warganegara Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura (LMS).
Permohonan itu boleh dibuat mulai Khamis (16 Oktober) melalui laman web khas www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my.
Terdapat tiga kriteria utama permohonan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
BACA LAGI: Tiada lagi STR untuk bujang, tapi ada ‘rezeki’ RM700 bawah bantuan tanpa tunai SARA
BACA LAGI: Permohonan STR 2026 mula dibuka, panduan kemas kini akaun dan buat permohonan baharu
Permohonan akan dinilai berdasarkan tiga syarat iaitu:
1. Pemohon mesti warganegara Malaysia
2. LMS mesti sah dan masih berkuat kuasa
3. Status permit kerja pemohon di Singapura akan diambil kira
Selain itu, rakyat Malaysia yang tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada peraturan tempatan Singapura untuk memegang lesen negara itu, boleh memohon semula lesen memandu Malaysia selepas membatalkan lesen Singapura mereka mengikut prosedur sedia ada.
Rakyat Malaysia yang memiliki lesen Singapura kini boleh memohon subsidi BUDI95. — AZHAR MAHFOF/The Star
Permohonan untuk mendapatkan semula lesen Malaysia boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ setelah menerima pengesahan bahawa tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan oleh pihak berkuasa Singapura terhadap lesen tersebut.
Pemohon boleh menyemak status kelayakan mereka di www.BUDI95.gov.my dalam tempoh 14 hari selepas permohonan dihantar.
Kelulusan akhir setiap permohonan akan dibuat oleh Kementerian Kewangan, berdasarkan syarat yang ditetapkan di bawah program subsidi BUDI95.
Ketika ini, subsidi BUDI95 hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam sidang media pada Rabu memberitahu, walaupun seseorang rakyat Malaysia memiliki lesen Singapura, kenderaan mereka mesti berdaftar di Malaysia dan menggunakan nombor plat Malaysia.
"Mereka yang memandu kenderaan berdaftar di luar negara, termasuk bernombor plat Singapura, tidak layak menggunakan petrol RON95,” katanya.
Ada rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura namun tinggal di Johor Bahru. — Agensi
Inisiatif ini, tambahnya, menyasarkan rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari antara Johor Bahru dan Singapura.
“Kita tahu sekitar 200,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari untuk bekerja, khususnya dalam sektor perkhidmatan, namun tinggal di Johor Bahru dan pulang setiap malam.
"Ramai antara mereka masih menggunakan kenderaan berdaftar di Malaysia. Maka, wajar mereka diberi peluang untuk memohon,” jelasnya.
Loke turut memaklumkan bahawa kementerian belum mempunyai data tepat berapa ramai rakyat Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura.
“Itulah sebabnya kita membuka pendaftaran ini bagi mengumpul data melalui permohonan baharu.
Maklumat yang dikumpul akan dihantar setiap minggu kepada Kementerian Kewangan.
Pihaknya menjangkakan anggaran jumlah sebenar rakyat Malaysia dalam kumpulan terbabit akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
"Kita harap ia dapat disiapkan sebelum akhir Oktober,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram