Dari Port Klang ke Makkah, pelayaran kapal mewah IslamiCruise bawa jemaah alami pengalaman unik umrah


  • Bisnes
  • Rabu, 15 Okt 2025

Penumpang yang menaiki IslamiCruise berpeluang menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan di atas kapal. — Aroya Cruises

SETIAP tahun, puluhan ribu umat Islam dari seluruh dunia menuju ke Makkah dan Madinah di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji atau umrah.

Kebiasaannya, jemaah akan mendaftar melalui pakej umrah atau haji yang turut merangkumi aktiviti lawatan dan pengisian di tanah suci.

Namun, buat pertama kali di Malaysia, satu konsep baharu dikenali sebagai IslamiCruise bakal diperkenalkan oleh Aroya Cruises pada Januari tahun depan.

BACA LAGI: Tiada lagi STR untuk bujang, tapi ada ‘rezeki’ RM700 bawah bantuan tanpa tunai SARA

BACA LAGI: Meriah di Bumi Kenyalang! Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia rai budaya dan destinasi terbaik negara

Salah sebuah kabin di dalam kapal mewah Aroya Cruises.

Pakej itu menawarkan pengalaman ibadah umrah yang unik menerusi pelayaran kapal mewah.

Pelayaran selama 15 hari itu akan bermula dari Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang, Selangor dengan beberapa persinggahan termasuk Banda Aceh (Indonesia), Oman dan Maldives sebelum berlabuh di Arab Saudi. 

Dari situ, jemaah umrah akan bermalam dua malam di Jeddah sebelum menyempurnakan ibadah mereka.

Menariknya, semua destinasi tersebut kecuali Maldives, pernah menjadi laluan para jemaah zaman dahulu yang menunaikan haji dan umrah menggunakan kapal laut.

Sebagai alternatif, jemaah juga boleh memilih untuk memulakan perjalanan dari Arab Saudi dan menamatkan pelayaran di Malaysia.

Pelayaran itu merupakan satu hala (one-way), bermakna penumpang perlu menempah tiket penerbangan pulang sendiri, atau memilih untuk meneruskan perjalanan ke destinasi lain. 

Harga tiket penerbangan tidak termasuk dalam pakej asas pelayaran.

IslamiCruise turut membuka penyertaan kepada penumpang bukan Islam, namun mereka akan menerima pakej berbeza tanpa aktiviti umrah.

Kapal Aroya menawarkan pelbagai kemudahan dan aktiviti menarik termasuk kolam renang, gelongsor air, padang golf mini dan bola sepak.

Bagi memperkayakan pengalaman rohani sepanjang pelayaran, turut disediakan sesi tazkirah dan kuliah agama bersama dua pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar (Malaysia) dan Ustaz Abdul Somad (Indonesia).

Menurut Pengarah Projek Aroya IslamiCruise, Ab Rahman Mohd Ali, pelayaran itu bukan sekadar pengalaman rohani, tetapi juga peluang untuk berehat dalam suasana tenang dan penuh keberkatan.

“Ini peluang terbaik untuk memanjakan diri dan keluarga dalam suasana damai serta diberkati,” katanya ketika pelancaran rasmi di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa tetamu yang menempah suite atau kelas lebih tinggi akan menerima keahlian Khuzama Club, yang menawarkan pelbagai keistimewaan eksklusif.

Kapal tersebut mampu memuatkan lebih 3,500 penumpang, dengan empat jenis penginapan termasuk suite, kabin dan vila.

Ab Rahman yakin inisiatif tersebut bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Kami menjangkakan kira-kira 8,000 pelancong akan datang ke Malaysia menerusi pelayaran ini,” ujarnya.

IslamiCruise turut diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Malaysia sebagai produk pelancongan bagi kempen Visit Malaysia 2026.

Tempahan kini telah dibuka dan boleh dibuat melalui lima agensi pelancongan umrah dan haji tempatan termasuk Tabung Haji Travel & Tours serta Andalusia Travel & Tours.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi di pelayaranislamik.com. — The Star/ GISELE SOO

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram