Nota 'Zero Day', 'I have won' tulisan tangan ditemui pada suspek tikam pelajar di Bandar Utama


  • Kes
  • Rabu, 15 Okt 2025

Shazeli (tengah) ketika sidang akhbar mengenai kes tikam pelajar perempuan Tingkatan 4 di SMK Bandar Utama Damansara 4 pada Rabu. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

POLIS mengesahkan penemuan sekeping nota tulisan tangan yang dipercayai ditinggalkan oleh pelajar lelaki yang terlibat dalam insiden tikaman rakan sekolahnya hingga mati di SMK Bandar Utama 4, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Nota berkenaan, yang turut tular di media sosial, dikatakan mengandungi beberapa tulisan termasuk ayat berbunyi “Dunia ini palsu. Saya sudah menang (This world is fake. I have already won).”

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Shazeli Kahar berkata, nota itu dirampas ketika tangkapan dan pemeriksaan awal terhadap suspek lelaki berusia 14 tahun berkenaan.

BACA LAGI: Keluarga tak tahu suspek tikam pelajar perempuan di Bandar Utama beli kerambit, pisau tanto secara online

BACA LAGI: Diam-diam jadi 'secret admirer', suspek tikam di Bandar Utama kenal mangsa dari kelas peralihan

“Nota tersebut ditemui pada suspek ketika dia ditahan.

“Kami kini sedang menyiasat kandungan nota itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu (15 Oktober).

Shazeli menegaskan pihak polis memandang serius insiden berkenaan dan menyeru semua pihak termasuk pihak sekolah serta komuniti setempat untuk bekerjasama dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar.

“Kita perlukan kerjasama semua pihak bagi menjamin keselamatan semua pelajar,” katanya. 

Pada Selasa, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dipercayai telah ditikam hingga mati oleh suspek.

Polis mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dalam kawasan sekolah.

Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. — The Star / FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram