Keluarga tak tahu suspek tikam pelajar perempuan di Bandar Utama beli kerambit, pisau tanto secara online


  • Kes
  • Rabu, 15 Okt 2025

Gambar tular senjata yang digunakan seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 untuk menikam pelajar Tingkatan 4 dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.

DUA senjata tajam yang dirampas daripada pelajar lelaki berusia 14 tahun susulan insiden tikam hingga maut terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di SMK Bandar Utama 4, Petaling Jaya, Selangor, didapati dibeli secara dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Shazeli Kahar berkata, senjata tersebut iaitu sebilah bilah melengkung (kerambit) dan sebilah pisau (tanto) dibeli di platform dalam talian.

“Hasil siasatan awal mendapati keluarga suspek tidak mengetahui tentang pembelian senjata berkenaan.

BACA LAGI: Remaja lelaki direman 7 hari bantu siasatan kes tikam pelajar perempuan di Bandar Utama

BACA LAGI: Pelajar maut ditikam Bandar Utama: Suspek pernah luah perasaan kepada mangsa, cerita rakan sekolah

Barang kes yang dirampas pihak polis. — The Star

Walaupun kedua-dua senjata tersebut telah dirampas, Shazeli mengesahkan bahawa hanya satu daripada pisau berkenaan digunakan dalam pembunuhan itu.

“Kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti platform dalam talian yang digunakan serta berapa lama suspek memiliki senjata tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu (15 Oktober).

Shazeli turut mengesahkan bahawa tiada pemeriksaan dilakukan terhadap beg suspek sebelum dia memasuki kawasan sekolah.

“Hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati kecederaan yang dialami adalah akibat tikaman menggunakan pisau,” katanya.

Shazeli (depan) menunjukkan barang-barang lain kepunyaan suspek yang turut dirampas. — The Star 

Pada masa sama, Shazeli memberitahu, polis merakam keterangan daripada 57 individu berhubung insiden terbabit.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang interaksi antara suspek dan mangsa sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Antara individu yang diambil keterangan ialah pelajar, guru serta ahli keluarga suspek dan mangsa.

“Setakat ini, kita tidak menemui sebarang unsur buli dalam kes ini," ujarnya lagi.

Beliau menambah bahawa pihak polis turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

“Kami sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.  — The Star/ FARIK ZOLKEPLI 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram