Ibu bapa jangan percaya mitos vaksinasi punca influenza, selamat untuk kanak-kanak awal usia 6 bulan


  • Bonda
  • Isnin, 13 Okt 2025

Kanak-kanak antara golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus influenza. — Gambar hiasan

PENINGKATAN ketara kes influenza di peringkat global dan serantau, ditambah dengan kematian pelakon Taiwan, Barbie Hsu, pelakon China, Liang You Cheng dan seorang kanak-kanak perempuan Malaysia berusia 3 tahun menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran tentang komplikasi serius yang berkaitan virus tersebut.

Sebanyak lima hingga 15 peratus populasi dijangkiti setiap tahun sehingga menyebabkan ribuan kes yang serius dan nyawa terkorban.

Meskipun sering dianggap sebagai penyakit bermusim, ia sekali gus memberi impak besar dalam sektor kesihatan awam setiap tahun.

BACA LAGI: Rampas gajet risiko rosak hubungan sosial anak Gen Alpha? Pakar saran jadi 'digital mentor' bukan 'digital dictator'

BACA LAGI: Jangan buta tuli tunding pada guru, masalah disiplin pelajar bermula dari luar pagar sekolah — Guru kaunseling

Dr. Noor Zehan Abdul Rahim

Pakar Perunding Pediatrik dan Respiratori Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway (SMC) Sunway City, Dr. Noor Zehan Abdul Rahim mendedahkan bahawa kanak-kanak bawah umur 5 tahun tergolong dalam kumpulan paling berisiko dijangkiti influenza.

Hal ini kerana sistem imun mereka yang belum matang sepenuhnya secara tidak langsung menyebabkan lebih mudah mengalami gejala teruk berbanding orang dewasa.

Influenza yang teruk juga boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pneumonia, dehidrasi dan dalam kes yang jarang berlaku iaitu jangkitan otak atau jantung seperti ensefalitis atau miokarditis.

Gejala seperti demam panas, sakit badan, batuk dan keletihan juga tidak boleh diabaikan dan menganggapnya sebagai masalah kesihatan biasa pada kanak-kanak.

"Jika mengalami gejala berterusan melebihi 48 jam atau demam yang tidak kebah dengan ubat, ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan perubatan.

"Kesukaran bernafas, muntah berterusan dan tanda-tanda dehidrasi adalah tanda amaran yang memerlukan penjagaan segera," sarannya.

Vaksinasi

Selain rawatan susulan, pengambilan vaksin juga antara langkah pencegahan yang digalakkan untuk mengelakkan virus tersebut merebak.

Pun demikian, suntikan vaksin tersebut sering disalah anggap sehingga timbulnya mitos bahawa vaksin boleh menyebabkan influenza.

Justeru, Dr. Noor Zehan tampil menjelaskan bahawa ia adalah selamat dan sangat disyorkan untuk kanak-kanak seawal usia enam bulan.

"Vaksin mengandungi strain virus yang tidak aktif atau dilemahkan.

"Bermakna, sebarang gejala ringan selepas vaksinasi adalah tindak balas semula jadi imun badan. 

"Keradangan berulang akibat influenza boleh meningkatkan risiko asma pada kanak-kanak sekiranya tidak divaksin," jelasnya.

Pengambilan vaksin tidak memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak. — Gambar hiasan

Sementara itu, Pakar Perunding Pernafasan dan Pulmonologi Intervensi SMC, Dr. Megat Razeem Abdul Razak turut memberitahu, vaksin tetap kekal sebagai pertahanan terbaik.

Menurutnya, penyediaan vaksin kepada warga emas dan kumpulan berisiko tinggi merupakan antara insiatif wajar dilaksanakan pihak kerajaan.

Vaksin tersebut turut disarankan bagi individu yang sering ke luar negara, terutama di destinasi musim sejuk.

Bukan itu sahaja, memakai pelitup muka, mengamalkan gaya hidup sihat dan membawa cecair pembasmi kuman turut boleh mengurangkan risiko jangkitan.

Sekolah juga perlu menggalakkan amalan mencuci tangan yang kerap, memastikan pengudaraan yang baik, menyediakan makanan berkhasiat dan mengatur aktiviti luar untuk menguatkan sistem imun kanak-kanak.

"Melindungi diri dan anak-anak daripada influenza adalah tanggungjawab bersama.

"Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram