[VIDEO] Wanita, 9 pelajar cedera ringan dihempap runtuhan lepas puting beliung badai Sijangkang


  • Kes
  • Rabu, 15 Okt 2025

Tangkap layar kejadian sekitar Sijangkang Jaya di Telok Panglima Garang, Selangor dilanda ribut sehingga menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah penduduk tercabut pada Rabu.

SEORANG wanita dan sembilan pelajar sekolah cedera dalam kejadian ribut persis puting beliung di Sijangkang Jaya di Telok Panglima Garang, Selangor pada Rabu

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 4.24 petang Rabu.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

BACA LAGI : [VIDEO] Panjat bumbung cuba pecah rumah, penduduk Jalan Kebun cekup lelaki Indonesia cuma pakai 'boxer', rakan jenayah masih bebas

BACA LAGI : [VIDEO] Nahas 2 kenderaan bertembung di Desaru, lambakan rokok seludup undang tanda tanya

 

“Komander Operasi lapor kejadian melibatkan runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, terdapat seorang mangsa wanita berumur 51 tahun telah terperangkap di bawah runtuhan.

“Mangsa dalam keadaan sedar. Kerja-kerja menyelamatkan sedang dilakukan oleh anggota bomba bertugas dan pada pukul 5.05 petang, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan pada pinggang dan paha.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk menerima rawatan. Runtuhan juga melibatkan sebuah surau KAFA berhampiran dan terdapat anggaran tujuh hingga sembilan orang pelajar KAFA mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa sedang dirawat oleh pihak KKM yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan. 

Terdahulu, beberapa kawasan sekitar Sijangkang Jaya dilanda ribut sehingga menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah penduduk serta sekolah tercabut. 

Keajdian itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat selepas kejadian ribut itu berlaku sehari selepas beberapa kawasan di Meru, Klang menghadapi insiden yang sama pada Selasa. 

Insiden itu tular menerusi beberapa buah video di laman sosial Facebook termasuk sebuah bumbung sebuah Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya yang diterbangkan ribut kuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram