
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meningkatkan kekerapan saringan kesihatan mental pelajar sekolah daripada sekali kepada dua kali setahun sebagai langkah segera memperkukuh kesejahteraan murid di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan melalui Program Saringan Minda Sihat itu bertujuan mengesan lebih awal tanda-tanda kemurungan atau tekanan emosi dalam kalangan pelajar sebelum ia menjadi lebih serius.
“Melalui laporan saringan ini, kita boleh mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tanda kemurungan atau memerlukan bantuan sokongan dan intervensi.
BACA LAGI: Aplikasi Skuad Waja Siswa @ UMK perkasakan mahasiswa hadapi isu sosial
BACA LAGI: Pelajar perempuan Tingkatan 4 maut ditikam pelajar lelaki 14 tahun di PJ
“Mereka yang dikenal pasti akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Fadhlina, intervensi psikiatri sedia dilaksanakan, namun reformasi terbaharu ini akan memperkukuh lagi sistem sedia ada melalui latihan dan intervensi segera yang lebih menyeluruh.
Beliau turut menegaskan peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan keberkesanan intervensi kerana pelajar menghabiskan lebih banyak masa di rumah berbanding di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
“Sekolah hanya bersama mereka selama enam jam sehari. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mendapat rawatan susulan dan berada dalam ekosistem sihat yang menyokong kesihatan mental mereka,” katanya.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) yang merujuk laporan Unicef Malaysian Youth Mental Health Index 2023 yang mendapati sekitar enam peratus remaja di Malaysia mengalami kemurungan serius.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut memaklumkan reformasi menyeluruh terhadap aspek keselamatan fizikal dan mental di semua sekolah juga sedang giat dijalankan.
Beliau berkata, usaha itu merangkumi penguatkuasaan ketat terhadap larangan membawa barangan berbahaya ke sekolah, pengukuhan ekosistem sokongan kesihatan mental dan psikososial, serta kerjasama strategik bersama KKM dan rakan profesional dalam bidang kesihatan mental.
“Keutamaan diberikan kepada pengukuhan ekosistem bimbingan dan kaunseling untuk guru serta pelajar, susulan beberapa insiden jenayah mengejutkan yang berlaku di sekolah baru-baru ini,” katanya.
Selain itu, KPM turut memperkenalkan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial bagi meningkatkan kesedaran terhadap keganasan seksual kanak-kanak serta memberi panduan berasaskan nilai agama, moral dan budaya.
“Program ini bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi juga menyediakan intervensi berfokus kepada pelajar, disertai langkah perlindungan kanak-kanak dan pematuhan kepada undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Reformasi menyeluruh terhadap aspek keselamatan fizikal dan mental di semua sekolah sedang giat dijalankan.— Agensi/Gambar Hiasan
Menurut Fadhlina, KMPM akan memperketat pemeriksaan mengejut di sekolah bagi memastikan tiada barangan terlarang atau berbahaya dibawa ke kawasan sekolah.
Beliau berkata, sistem sokongan psikososial untuk guru turut akan diperkukuh agar kebajikan mereka terjamin, terutama apabila berdepan situasi memerlukan bantuan segera.
"KPM juga sedang melaksanakan audit keselamatan fizikal secara berterusan di semua 10,243 sekolah di seluruh negara, dengan 735 sekolah telah diaudit setakat ini.
"Selain itu, semakan semula prosedur operasi standard (SOP) bagi kes buli dan salah laku seksual turut dijalankan, termasuk penambahbaikan sistem aduan serta pemasangan tambahan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah.
“Kami akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pelajar, ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah sebelum dasar perlindungan kanak-kanak diperkenalkan secara menyeluruh,” katanya.
Fadhlina menegaskan, semua inisiatif berkenaan akan dinilai setiap 15 hari bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara berterusan dan berkesan. — The Star/ BENJAMIN LEE, ARFA YUNUS dan MARTIN CARVALHO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram