'Biar buta mata jangan gelap hati', lelaki cacat penglihatan terpaksa alihkan motosikal satu demi satu lepas laluan tersekat


  • Tular
  • Rabu, 15 Okt 2025

Gambar tular seorang lelaki OKU penglihatan terpaksa mengalihkan motosikal satu persatu selepas laluan khas (laluan tactile) untuk golongan berkenaan dijadikan tempat parkir haram baru-baru ini. — Hazwan

GOLONGAN orang kurang upaya (OKU) berhak menikmati kemudahan awam yang disediakan khas untuk memudahkan pergerakan mereka.

Namun, masih ada segelintir individu yang tidak cakna dan mengambil mudah keperluan tersebut.

Terbaharu, tular di media sosial kejadian seorang lelaki OKU penglihatan terpaksa mengalihkan motosikal satu persatu selepas laluan khas (laluan tactile) untuk golongan berkenaan dijadikan tempat parkir haram.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita, 9 pelajar cedera ringan dihempap runtuhan lepas puting beliung badai Sijangkang

BACA LAGI: [VIDEO] Panjat bumbung cuba pecah rumah, penduduk Jalan Kebun cekup lelaki Indonesia cuma pakai 'boxer', rakan jenayah masih bebas

Situasi berkenaan dikongsikan pengguna Threads, Hazwan Hassan, yang memuat naik gambar kejadian itu pada Rabu, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menurut Hazwan, tindakan segelintir penunggang motosikal yang meletakkan kenderaan di atas laluan tactile jelas menunjukkan sikap pentingkan diri dan tiada empati terhadap golongan OKU.

“Mohon yang bawa motosikal jangan parking atas laluan orang buta. Penat abang ini nak alih,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

 

 

 

 

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap sikap tidak bertanggungjawab individu yang terlibat.

Pengguna Threads, @jazhikerz3, turut mengecam tindakan pemilik motosikal tersebut.

“Yang sempurna tapi bersifat buta pancaindera… park-lah motor elok-elok, tahu la nak cepat, otak mana otak?”tulisnya.

Sementara itu, @zul_amirul_zulkifli mendakwa kejadian itu berlaku di kawasan MRT Cochrane dekat Cheras, Kuala Lumpur yang sering menjadi lokasi parkir motosikal bagi pekerja di sebuah pusat beli-belah berdekatan kawasan itu

“Main parking je. Elok la kalau ada kes motor hilang,” katanya secara sinis.

Seorang lagi pengguna, @shafinaothman, turut berkongsi pengalaman menyaksikan penguat kuasa menegur peniaga yang menutup laluan tactile dengan barangan jualan.

“Mak cik itu siap kata ‘mana orang buta, tak ada pun’. Sekali bila penguat kuasa suruh angkut barang masuk lori, baru dia tahu rasa,” tulisnya.

Tidak ketinggalan, seorang lagi pengguna dengan nama akaun @amirulhaniff turut memberi komen pedas terhadap pemilik motosikal tidak bertanggungjawab itu.

“Penyakit buta mata, gelap hati tu susah. Dah nampak laluan khas pun masih nak parkir situ.”

Kejadian ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap kemudahan awam untuk OKU yang masih rendah dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram