
ISU buli dalam kalangan pelajar sekolah kembali menjadi perhatian masyarakat selepas beberapa insiden tular membabitkan keganasan fizikal dan mental yang meragut ketenteraman mangsa.
Dalam banyak kes, pelajar bukan sahaja mengalami kecederaan, malah ada yang trauma sehingga menjejaskan pelajaran serta kehidupan sosial mereka dan lebih teruk lagi, beberapa nyawa terkorban dilaporkan.
Fenomena ini menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana keberkesanan pendekatan sedia ada dalam membendung gejala buli.
BACA LAGI : BUDI95 tunjuk kesan positif, tiada lagi 'lesen terbang', kelibat pelajar 'hantu' isi minyak
BACA LAGI : Ibu bapa mangsa buli boleh ambil tindakan sivil jika pelaku masih di bawah umur — Peguam
Walaupun pelbagai langkah sudah diambil termasuk kempen kesedaran, pengawasan guru dan intervensi kaunselor, hakikatnya masih terdapat ruang yang mudah dieksploitasi pembuli untuk mengulangi perbuatan mereka.
Jika sebelum ini telefon pintar dianggap memadai untuk tujuan komunikasi dan pemantauan, kini muncul pelbagai peranti khusus yang mampu memberi isyarat kecemasan, merekod bukti serta menjejak lokasi dengan lebih tepat.
Sehubungan itu, penggunaan peranti teknologi moden boleh menjadi lapisan tambahan dalam strategi pencegahan, sekali gus memperkukuh peranan pengawasan guru dan ibu bapa.
BullyBug beri amaran awal
BullyBug berfungsi bukan sahaja sebagai sistem amaran awal, tetapi juga sebagai rekod digital yang boleh membantu pihak sekolah menilai pola kejadian buli. — Agensi
Salah satu inovasi yang semakin mendapat perhatian ialah BullyBug, gelang tangan pintar yang dilengkapi butang kecemasan.
Dalam situasi pelajar berdepan ancaman atau gangguan, hanya satu tekanan butang sudah cukup untuk menghantar isyarat terus kepada guru atau pihak sekolah.
Menariknya, peranti ini asalnya dibangunkan oleh lima murid berusia 11 tahun dari Ireland melalui inisiatif Solas Project.
Hasil inovasi itu mendapat perhatian dunia apabila diperkenalkan secara rasmi pada pameran teknologi terbesar dunia pada November 2015.
Dari sudut teknikal, gelang ini dipasang dengan pemancar iBeacon yang akan menghantar signal melalui Bluetooth ke aplikasi BullyBug pada telefon pintar guru.
Aplikasi berkenaan bukan sahaja memaparkan notifikasi segera pada skrin utama, malah turut merekodkan masa, tarikh dan identiti murid yang mengaktifkan peranti itu.
BullyBug berfungsi bukan sahaja sebagai sistem amaran awal, tetapi juga sebagai rekod digital yang boleh membantu pihak sekolah menilai pola kejadian buli serta mengambil tindakan yang lebih tepat dan menyeluruh.
Perakam video dan suara mini sebagai bukti kukuh
Direka dalam bentuk peralatan sekolah biasa yang mudah disamarkan,perakam video dan suara mini membolehkan pelajar merakam ugutan atau perbuatan pembuli secara senyap. — Gambar hiasan/Agensi
Selain amaran segera, bukti yang sahih juga penting dalam membanteras kes buli. Di sinilah perakam video dan suara mini memainkan peranan.
Direka dalam bentuk peralatan sekolah biasa yang mudah disamarkan, ia membolehkan pelajar merakam ugutan atau perbuatan pembuli secara senyap.
Rakaman ini kemudiannya boleh dijadikan bukti kukuh untuk tindakan disiplin mahupun siasatan pihak berkuasa.
Fungsi ini penting kerana ramai mangsa sering gagal mempertahankan diri apabila berdepan tuduhan balas daripada pembuli.
Jam pintar tingkat kawalan ibu bapa
Smartwatch dilengkapi fungsi rakaman audio dan video, panggilan kecemasan serta sistem GPS yang mampu mencegah gejala buli. — Gambar Hiasan/JanaanAi
Dalam masa sama, jam pintar (smartwatch) turut menjadi antara peranti yang paling praktikal untuk digunakan pelajar.
Selain memaparkan waktu, ia dilengkapi fungsi rakaman audio dan video, panggilan kecemasan serta sistem GPS.
Keupayaan menjejak lokasi secara langsung memberi nilai tambah kepada ibu bapa kerana mereka boleh mengetahui keberadaan anak setiap masa.
Fungsi panggilan kecemasan pula membolehkan pelajar menghubungi ibu bapa atau guru dengan pantas sekiranya berlaku insiden yang membimbangkan.
Teknologi bukan jawapan mutlak
Walaupun ketiga-tiga peranti ini dilihat mampu menambah lapisan perlindungan kepada pelajar, namun ia bukanlah jawapan mutlak kepada isu buli.
Teknologi hanyalah alat sokongan, manakala pencegahan sebenar tetap memerlukan pendidikan nilai, kesedaran sivik, penguatkuasaan disiplin serta sokongan komuniti.
Dalam konteks ini, pendekatan menyeluruh yang melibatkan ibu bapa, sekolah dan kerajaan amat penting agar budaya buli dapat dibanteras dari akar umbi.
Jika digabungkan dengan inovasi teknologi, usaha ini diyakini mampu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat, sekali gus melindungi generasi muda daripada terus menjadi mangsa.
Pada masa sama, kerajaan dan institusi pendidikan juga wajar menilai potensi penggunaan peranti moden ini secara lebih sistematik, sama ada melalui dasar pencegahan buli peringkat sekolah mahupun kerjasama dengan syarikat teknologi untuk membangunkan aplikasi keselamatan mesra pelajar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram