
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat dua kes kematian melibatkan kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat dan 11 tahun yang dikaitkan dengan jangkitan Influenza setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua kes tersebut melibatkan mangsa dari dua negeri berbeza iaitu kanak-kanak berusia empat tahun dari Sarawak, manakala seorang lagi berusia 11 tahun dari Terengganu.
BACA LAGI: Ibu bapa jangan percaya mitos vaksinasi punca influenza, selamat untuk kanak-kanak awal usia 6 bulan
"Ada dua kes kematian yang ada kaitan dengan influenza. Kedua-dua dikesan mengalami influenza A.
"Tetapi kita masih lagi melakukan kajian dan penelitian apakah sebab serta punca sebenarnya kematian kedua-dua kanak-kanak ini," katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dr Dzulkefly juga menjelaskan lebih 80% daripada kes Influenza A baru-baru ini dikesan di sekolah dan tadika.
Menteri Kesihatan itu menyatakan, walaupun penyakit itu bermusim, kementerian memantau dengan teliti keadaan berikutan peningkatan kes baru-baru ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai adakah wujudnya kematian akibat Influenza seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini.
Sebelum ini, tular seorang kanak-kanak dari Kampung Sadong Jaya A di Samarahan, Sarawak dilapor meninggal dunia.
Pada Khamis, media melaporkan bahawa seorang-seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di Dungun, Terengganu dipercayai akibat jangkitan influenza.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkongsi bahawa sebanyak 535 kluster Influenza A telah dikesan sejak awal tahun ini.
Ini termasuk 352 kluster di sekolah (65.8%), 35 di kolej dan pusat pendidikan (6.54%), 33 di rumah persendirian (6.1%), 6 di pusat jagaan harian (1.1%), 10 di tempat kerja (1.9%) dan 3 di penjara (0.56%).
Tambahnya, Selangor (174), Putrajaya (103), dan Johor (51) mencatatkan kluster paling banyak sejak dua minggu lalu, walaupun jumlah kluster menurun sejak kebelakangan ini.
"Minggu antara 12 dan 16 Oktober menyaksikan bilangan kluster berkurangan kepada 56. Bagaimanapun, penularan jangkitan masih berterusan," katanya.
Beliau berkata, strain H3N2 semasa menyebabkan simptom seperti selesema yang boleh menjejaskan sistem pernafasan dan, dalam kes yang teruk, membawa kepada ensefalitis.
Dr Dzulkefly berkata, tidak ada rancangan untuk mengarahkan sekolah ditutup atau mewajibkan pelajar memakai topeng muka.
Beliau berkata, penutupan sekolah atau premis hanya akan dilakukan atas nasihat pihak berkuasa daerah kesihatan, selepas mengambil kira beberapa faktor.
Sebelum ini Majoriti melaporkan Nurhan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A H1N1.
"Penutupan sesebuah sekolah atau premis bukan hanya berdasarkan jumlah kes tetapi juga beberapa faktor lain.
"Ini termasuk keseriusan wabak, jumlah tidak hadir dan sama ada pengajaran akan terganggu," katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan daerah akan mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah berkenaan dan mengeluarkan nasihat yang perlu mengenai tindakan yang perlu diambil.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya mereka mengalami simptom selesema dan mengamalkan protokol kebersihan yang baik bagi mengelak penularan selesema.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Dzulkefly berkata, kementerian akan menyediakan rancangan untuk zon bencana sekiranya wabak selesema semakin teruk. — The Star/MARTIN CARVALHO,ARFA YUNUSdanBENJAMIN LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram