
LEBIH 500 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam di Kelantan menyertai Program Skuad Waja Siswa Negeri Kelantan 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Rabu.
Majlis yang berlangsung di Dewan Keusahawanan UMK itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPW, Dr. Faridah Awang, dan turut dihadiri Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN), serta wakil jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.
Menurut Dr. Faridah, objektif utama penubuhan Skuad Waja Siswa adalah memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif, memperluas peranan skuad kepada komuniti kampus, selain melatih golongan muda menangani gejala sosial dan jenayah di institusi pengajian tinggi.
BACA LAGI: Pelajar perempuan Tingkatan 4 maut ditikam pelajar lelaki 14 tahun di PJ
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas 2 kenderaan bertembung di Desaru, lambakan rokok seludup undang tanda tanya
“Peningkatan kes gangguan seksual, buli, kehamilan luar nikah serta penularan HIV dalam kalangan remaja perlu diberi perhatian serius.
Pewartaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) dan penubuhan Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS) merupakan langkah penting bagi melindungi mangsa dan memastikan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam program berkenaan, turut dilancarkan aplikasi Skuad Waja Siswa @ UMK, satu inisiatif digital yang dibangunkan bagi memperkukuh komunikasi dan sistem pelaporan dalam kalangan ahli skuad di institusi pengajian tinggi.
Aplikasi tersebut berfungsi sebagai platform interaktif bagi penyebaran maklumat, latihan kesedaran, pendaftaran keahlian serta saluran aduan yang lebih mudah dan selamat untuk mahasiswa.
Setakat ini, seramai 339,514 ahli telah menyertai Skuad Waja di seluruh negara, termasuk 2,129 mahasiswa IPT, menunjukkan komitmen tinggi golongan belia kampus untuk menjadikan universiti sebagai komuniti yang selamat, prihatin dan bebas jenayah.
KPWKM melalui JPW yakin penganjuran program ini mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berani bersuara, peka terhadap isu semasa serta menjadi benteng masyarakat daripada ancaman jenayah dan keganasan terhadap wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram