
CUBAAN dua lelaki memecah masuk sebuah rumah di Jalan Kebun, Seksyen 30 dekat Shah Alam, Selangor gagal selepas tindakan mereka disedari pemilik rumah pada awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pemilik rumah berkenaan dikatakan terjaga selepas mendengar bunyi mencurigakan sebelum mendapati dua individu cuba memasuki kediamannya.
Video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan salah seorang suspek memanjat dinding rumah dan cuba masuk melalui tingkat atas.
BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas 2 kenderaan bertembung di Desaru, lambakan rokok seludup undang tanda tanya
Lebih mengejutkan, salah seorang suspek yang juga warga Indonesia itu didakwa hanya memakai tak berbaju dan berseluar 'boxer' ketika kejadian, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.
Rakaman turut memperdengarkan jeritan penduduk yang mengarahkan suspek turun, namun lelaki itu dilihat cuba memberi pelbagai alasan sebelum seorang lagi rakannya sempat melarikan diri.
Kejadian cubaan pecah rumah jam 5 pagi. Suspek pakai boxer pic.twitter.com/zrvhSjBiP4
— isu apa hari ini (@dahfollowbelum) October 13, 2025
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, pemilik rumah kemudian meminta bantuan penduduk yang bertindak mengepung kawasan berkenaan sebelum berjaya menahan seorang suspek.
“Pasukan peronda MPV yang menerima panggilan kecemasan segera ke lokasi dan mendapati penduduk telah menangkap seorang lelaki dipercayai cuba memecah masuk ke rumah itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai pekerjaan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda.
“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah untuk berada di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Aznor Zainal di talian 017-3989155 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram