'Tugas cikgu mengajar, lepas ni jadi pegawai kebajikan’, Rafizi kritik BAP RM150 disalur secara tunai


  • Massa
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Rafizi Ramli (Gambar kecil) menyindir keputusan kerajaan menyalurkan BAP RM150 secara tunai kepada ibu bapa melalui guru, menyifatkannya sebagai langkah ke belakang yang menambah beban tugas pendidik. — Gambar Hiasan

BEKAS Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengkritik keputusan kerajaan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 secara tunai kepada ibu bapa melalui guru, menyifatkannya sebagai langkah ke belakang yang menambah beban tugas pendidik.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, tindakan berkenaan bukan sahaja menyulitkan proses agihan, malah mengalih fokus guru daripada tanggungjawab utama mereka untuk mendidik pelajar.

“Harus diingatkan, tugas guru adalah untuk mendidik, bukan dibebankan dengan perkara yang tidak sepatutnya.

"Mungkin cikgu marah kot sebab tugas cikgu ialah untuk mengajar. Lepas ni jadi ‘pegawai kebajikan’ pula,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri pada Jumaat.

BACA LAGI: Sebanyak 22 juta rakyat dewasa bakal nikmati SARA RM100 Februari depan

BACA LAGI: STR Fasa 4 diawalkan, tol diskaun 50 peratus sempena Deepavali

Rafizi turut menyifatkan pendekatan itu menyerupai gaya lama seperti pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memerlukan rakyat hadir beratur menerima bantuan secara fizikal.

“Saya rasa kerajaan Datuk Seri Anwar ini patut jauh ke depan lagi, jauhi gaya lama yang rakyat kena beratur ambil bantuan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang melihat kaedah agihan tunai itu mampu meningkatkan populariti politik masing-masing.

“Langkah sebegini memang beri keuntungan politik, sebab dapat publisiti. Tapi akhirnya guru yang menanggung beban,” ujarnya.

 

 

Beliau turut memberi contoh bagaimana sistem pendidikan kini tidak lagi memerlukan permohonan manual, sebaliknya cukup dengan proses pendaftaran bagi membolehkan anak-anak bersekolah.

"Bagi pelajar yang layak, mereka kemudian akan diberikan pelbagai bantuan.

“Tapi kalau diinstitusikan, untuk siapa yang layak, setiap kerajaan akan bayar," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 mengumumkan bantuan berjumlah RM150 itu akan diserah secara tunai kepada ibu bapa di sekolah.

Seramai 5.2 juta murid sekolah kerajaan dijangka menerima manfaat tersebut, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM800 juta.

Dalam pada itu, Rafizi berpandangan program kebajikan kerajaan Madani seperti Bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) masih menyerupai BR1M yang diperkenalkan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, namun menegaskan ia boleh diperkemas bagi memudahkan agihan.

“Ini tak boleh jadi modal politik lagi. Setiap kerajaan akan pertahankan program kebajikan, tapi perlu diinstitusikan supaya agihan lebih mudah dan telus,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram