[VIDEO] Sembilan tahun sudah berlalu, iklan mohon maaf kenaikan harga aiskrim Jepun masih jadi bualan ramai


  • Bisnes
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Jenama Akagi Nyugyo satu-satunya jenama yang berani tampil menzahirkan rasa bersalah di depan jutaan penonton, semata-mata kerana ingin menjaga kepercayaan dan hati pengguna setia. — Agensi

SEMBILAN tahun sudah berlalu, namun apa yang dilakukan jenama ais krim terkenal Jepun, Akagi Nyugyo Co. Ltd., masih segar dalam ingatan seluruh dunia apabila syarikat itu menyiarkan iklan khas di televisyen hanya untuk memohon maaf kepada pelanggan selepas menaikkan harga produk popular mereka, Garigari-kun.

Langkah penuh rendah hati itu mencipta sejarah dan menjadikan Akagi Nyugyo satu-satunya jenama yang berani tampil menzahirkan rasa bersalah di depan jutaan penonton, semata-mata kerana ingin menjaga kepercayaan dan hati pengguna setia.

Apa yang kelihatan seperti sekadar iklan, sebenarnya menjadi manifestasi nilai keikhlasan dan budaya tanggungjawab sosial Jepun yang amat tinggi.

BACA LAGI: Sebanyak 22 juta rakyat dewasa bakal nikmati SARA RM100 Februari depan

BACA LAGI: Daripada serabut jadi rezeki, 3 tempat boleh jual baju 'preloved'

Apa yang kelihatan seperti sekadar iklan, sebenarnya menjadi manifestasi nilai keikhlasan dan budaya tanggungjawab sosial Jepun yang amat tinggi.

Pada tahun 2016, Akagi Nyugyo mengumumkan kenaikan harga Garigari-kun daripada 60 yen kepada 70 yen (sekitar RM0.30).

Walaupun peningkatan kecil, namun cukup besar maknanya bagi sebuah jenama yang terkenal dengan kesetiaan terhadap pelanggan selama lebih dua dekad.

Sebagai tanda keprihatinan, pengeluar tersebut menyiarkan iklan berdurasi satu minit yang memperlihatkan presiden, pengerusi dan semua kakitangan berdiri berbaris di luar ibu pejabat.

Malah, dengan wajah serius dan penuh hormat, mereka tunduk serentak (ojigi) yang merupakan satu simbol permohonan maaf yang amat dihargai dalam budaya Jepun.

Latar belakangnya disertai muzik rakyat Jepun yang perlahan dan melankolik, menimbulkan suasana syahdu dan tulus.

Iklan itu segera menyentuh hati penonton dan kemudiannya diangkat sebagai antara karya pengiklanan paling ikonik dalam sejarah Jepun.

Tindakan Akagi Nyugyo bukan sekadar langkah komunikasi korporat, tetapi gambaran sebenar tentang nilai integriti dan empati dalam dunia perniagaan Jepun.

Ia menunjukkan bagaimana sebuah jenama sanggup menanggung rasa malu demi menghormati pengguna, walaupun hanya kerana kenaikan harga kecil.

Ramai memuji keberanian jenama tersebut yang memilih jalan kejujuran daripada sekadar berdiam diri atau memberi alasan. Bagi rakyat Jepun, iklan itu menjadi tanda penghormatan terhadap pelanggan dan bukti bahawa kepercayaan lebih berharga daripada keuntungan.

Dalam kenyataan rasmi syarikat berkenaan pada ketika itu, pihak pengurusan menjelaskan bahawa keputusan menaikkan harga dibuat kerana peningkatan kos bahan mentah yang tidak dapat dielakkan. Namun, mereka tetap berasa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu secara terbuka.

“Kami tiada pilihan selain menaikkan harga, namun kami mahu menyampaikan permohonan maaf secara terus kepada semua pelanggan. Kami benar-benar menghargai sokongan mereka selama ini,” ujar kenyataan itu dengan penuh rendah diri.

Sehingga kini, iklan berkenaan masih ditonton, dikongsi dan dibicarakan semula setiap kali isu integriti korporat dibangkitkan.

Ia kekal menjadi simbol kejujuran tulen, kerendahan hati dan tanggungjawab sosial yang membentuk jiwa perniagaan Jepun, sebuah nilai yang semakin hilang dalam dunia penuh persaingan hari ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram