
DUA maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56, Lebuhraya Senai-Desaru, Johor pada Sabtu.
Kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi itu turut menyebabkan dua daripada kenderaan terbabit terbakar selepas dipercayai bertembung antara satu sama lain.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hazmi Zulkafli berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Hanya bayar RM100', pemandu dipercayai mabuk dakwa 'suap' polis elak ditahan
“Setibanya di lokasi, didapati dua daripada tiga kenderaan terlibat sedang terbakar. Lima mangsa ditemui di tempat kejadian, namun semuanya telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, dua kenderaan yang terbakar ialah Toyota Fortuner dan Volkswagen, dengan empat individu berada dalam Volkswagen berkenaan, dua maut dan dua lagi cedera parah.
“Seorang lagi mangsa dalam Toyota Fortuner turut cedera parah. Semua mangsa dipercayai cedera akibat hentaman, bukan kerana kebakaran,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Fortuner dipercayai bertembung dengan Volkswagen sebelum kedua-duanya terbakar. Sebuah Honda CR-V yang berada berhampiran cuba mengelak lalu terbabit secara ringan dalam nahas itu, namun empat penumpangnya dilaporkan selamat.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat, manakala tiga yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk rawatan,” katanya.
Dalam masa sama, beberapa video kejadian yang tular di media sosial menimbulkan tanda tanya apabila kelihatan lambakan kotak rokok dipercayai rokok seludup berselerakan berhampiran salah sebuah kenderaan yang terlibat.
Kotak rokok berjenama asing yang bertaburan di lokasi kemalangan itu mencetus pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.
Seorang pengguna Facebook, Chorenic Yusoff menulis bahawa dia percaya salah satu kenderaan mungkin membawa rokok seludup.
“Kalau betul lori atau kereta tu bawa rokok haram, patutlah banyak sangat kotak bertaburan... memang kantoi terus,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna lain, Syafiq Damian, turut berkongsi kekeliruan selepas menonton rakaman video tular tersebut.
“Aku nampak rokok seludup dalam video tu, tapi pelik juga... apa kaitan dengan kemalangan? Nak bawa ke mana agaknya?” katanya.
Bagaimanapun, polis masih belum mengesahkan sama ada rokok berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana aktiviti penyeludupan, sementara siasatan punca sebenar kemalangan sedang diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram